Tuesday, 14 August 2012

Bukan mustahil parti serpihan kembali ke UMNO

Segala-galanya bergantung kepada kepimpinan parti serta kesedaran menyatupadukan semula Melayu

KUALA LUMPUR: Bersandarkan senario politik semasa, adalah sukar bagi parti serpihan UMNO untuk kembali semula ke pangkuan parti itu seperti yang pernah berlaku kepada Parti Melayu Semangat 46 (S46) pada Mei 1996.

Namun, menurut beberapa penganalisis politik, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil kerana menurut mereka segala-galanya bergantung kepada kepimpinan parti serta kesedaran untuk menyatupadukan semula orang Melayu di bawah payung UMNO.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata faktor kepimpinan memainkan peranan utama memastikan parti serpihan itu kembali ke pangkuan UMNO.

“Ini mampu menjadi kenyataan jika pemimpin semua parti mampu duduk semeja dan bincang antara mereka, namun ini amat sukar kerana kita lihat sendiri sehingga sekarang salam persahabatan dihulurkan UMNO tidak disambut parti serpihan ini.

“Namun penyatuan bukan mustahil, ia juga berbalik kepada faktor pimpinan itu sendiri kerana kita lihat sejarah bila mana kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ‘mencairkan’ Tengku Razaleigh Hamzah dan Semangat 46,” katanya kepada Bernama.

Khamis lepas, Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri menyeru orang Melayu juga parti serpihan UMNO kembali bersatu di bawah payung parti utama orang Melayu itu yang disifatkanya sebagai parti terbaik dalam menyatukan orang Melayu dan membawa pembangunan kepada rakyat.

Sejarah parti serpihan UMNO sebenarnya bermula dengan penubuhan Parti Negara pada 1954 oleh Datuk Onn Jaafar kerana bercanggah pendapat dalam isu menuntut kemerdekaan daripada Britain dan mewujudkan sebuah parti berbilang kaum pada masa itu.

Parti Melayu Semangat 46 pula ditubuhkan Tengku Razaleigh sebagai reaksi pengharaman UMNO pada 1988. Matlamat perjuangannya memulihkan UMNO asal yang dibatalkan kewujudannya selepas pertandingan jawatan Presiden UMNO antara Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir pada 1987.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau nama asalnya Parti Keadilan Nasional ditubuhkan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 1999 ekoran hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga bekas Timbalan Presiden UMNO yang dikaitkan dengan isu salah laku dan moral.

Selain itu, Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) dilancar semula daripada Parti Akim oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim pada 2010 juga parti serpihan UMNO.

Zainal Abidin berkata selain duduk berbincang, UMNOsebagai sebuah parti induk lebih besar dan dominan mampu ‘mencairkan’ parti serpihan itu untuk diserap sekiranya jentera parti utama orang Melayu itu digerakkan dengan lebih efektif dan efisien.

“Ini bukan bergantung kepada struktur sahaja, elemen kepimpinan sekali lagi memainkan peranan penting. Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) mampu melakukannya dengan program transformasi beliau. Kita kena beri masa, 10 tahun lagi tidak mustahil tetapi jalannya amat sukar dan berliku,” katanya.

Zainal Abidin berkata ideologi parti faktor penting tetapi bukan utama dalam proses penyatuan itu kerana UMNO dan parti serpihannya masing-masing mempunyai ideologi yang mampu ‘duduk’ bersama seperti ideologi memperjuang Melayu dan Islam.

Bekas Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya itu berkata menarik parti serpihan itu menjadi anggota gabungan Barisan Nasional (BN) walaupun lebih mudah, bukan penyelesaian terbaik kerana akan timbul masalah ‘menselarikan’ perjuangan parti serta anggotanya dalam satu gabungan.

“Parti serpihan ini dianggotai mereka yang tidak berpuas hati terhadap UMNO, jika mereka ini tidak betul-betul menyerap semangat UMNO dan duduk di bawah parti lain dikhuatiri akan mengganggu perjuangan BN itu sendiri,” katanya.

Seorang lagi penganalisis politik Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata bagi memastikan parti serpihan itu kembali, UMNO perlu merampas ‘kunci’ kekuatan mereka iaitu anggota mereka yang terdiri daripada golongan pemimpin muda, profesional dan cendekiawan.

“UMNO perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan ini menyertainya, bukan setakat itu sahaja UMNO perlu mengerakkan golongan ini menjadi nadi parti itu dengan memberi peranan penting seperti jawatan dan tanggungjawab membuat keputusan kepada mereka,” katanya.

Timbalan Dekan Pusat Program Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia itu berkata parti serpihan yang dilihat lebih kuat berbanding sebelum pilihan raya umum 2008 menyukarkan usaha penyatuan itu, namun ia boleh berubah sekiranya parti serpihan itu menjadi lemah.

“Sekiranya pakatan pembangkang menjadi lemah dan tidak dapat memenuhi aspirasi rakyat memang ada kemungkinan parti serpihan itu kembali kepada UMNO.

Jika dilihat sejarah kelemahan ini boleh berlaku jika tiada lagi kesepakatan dalam pakatan pembangkang itu sendiri,” katanya.

Sivamurugan berkata menarik parti serpihan menjadi anggota BN mampu mengukuhkan BN namun kekuatan Umno tetap pada tahap yang sama.

“Objektifnya

sekarang kita mahu kuatkan UMNO, bila UMNO kuat BN akan jadi lebih kuat” katanya.

Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (PAKKU) Tan Sri Adam Abdul Kadir berkata isu utama dalam menarik kembali parti serpihan kembali ke pangkuan Umno ialah usaha tawar-menawar antara parti itu.

“Dalam tawar menawar ini ada parti terpaksa beralah mendapatkan sesuatu dan begitu juga sebaliknya, ‘anda hilang sedikit,anda dapat sedikit’. Tetapi apa yang sukar mahukah parti-parti ini beralah ? ..kerana masing-masing punya perjuangan sendiri,” katanya.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara tahun 1995 dan bekas Anggota Parlimen Kuantan tahun 1986 itu berkata tidak mustahil parti serpihan itu kembali bersama Umno sekiranya tolak ansur tahap tertinggi terlaksana antara parti tersebut.

Pengerusi Yayasan 1Malaysia Prof Dr Chandra Muzaffar berkata Perlembagaan Malaysia mampu menjadi pemangkin penting kepada penyatuan orang Melayu dalam satu parti.

“Sukar untuk memujuk parti serpihan ini, agak mustahil nak capai kerana setiap parti ada kepentingan sendiri, masing-masing pemimpin ada sejarah dan sebagainya. Tetapi ini berubah sekiranya melihat kembali kepada perlembagaan.

“Perlembagaan Malaysia adalah perlembagaan yang begitu indah dalam menyatupadukan masyarakat kita, tidak kira bangsa agama dan budaya. Jadi mengapa tidak Melayu?,” katanya.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata perbezaan pendapat antara parti politik adalah sesuatu yang biasa, namun perbezaan itu tidak sepatutnya dijadikan platform untuk menyemai kebencian dan permusuhan di kalangan rakyat. — Bernama




No comments:

Post a Comment