Monday 27 August 2012

Kerajaan digesa bayar baki pampasan bersama faedah

KUCHING: Kerajaan diminta bukan sahaja membayar baki 50 peratus pampasan kepada penduduk terjejas akibat pelaksanaan empangan Bakun, malah disertakan dengan faedahnya sekali.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Baru Bian berkata, ia berdasarkan permintaan penduduk di kawasan itu sendiri semasa lawatan beliau ke kawasan berkenaan pada bulan lalu iaitu untuk membayar pampasan berserta faedah untuk 13 tahun.

“Kita memang jangka pemberian pampasan ini akan diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU).

“Namun di sini saya mahu menyampaikan permintaan penduduk di Sungai Asap bahawa mereka mahu bayaran penuh pampasan iaitu baki 50 peratus dengan faedah sekali, biasanya faedah adalah lapan peratus bagi setiap tahun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan sebuah akhbar kelmarin yang dipetik sebagai berkata, penduduk Skim Penempatan Semula Sungai Asap di Belaga akan mendapat baki 50 peratus pampasan mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, kata Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing.

Masing yang juga bekas pengerusi jawatankuasa skim penempatan empangan Bakun berkata, kerajaan negeri pasti akan memenuhi janji kepada penduduk seperti sebelum ini.

“Kita akan membayar balik pampasan kerana kita telah berjanji. Kini Jabatan Tanah dan Survei masih dalam proses meneliti jumlah yang akan dibayar,” kata Masing.

Baru yang menyambut baik pengumuman kerajaan itu bagaimanapun berkata ia diharap bukan satu lagi gimik politik kerana ia diberikan sebelum PRU.

“Kita gembira dengan janji ini namun janji itu datang selepas 13 tahun projek dijalankan dan diharap bukan gimik politik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kalalan itu.

Kira-kira 1,300 bilik daripada 15 buah rumah panjang terjejas akibat projek pembinaan empangan Bakun di mana mereka telah berpindah dari tahun 1998 dengan meninggalkan harta benda, rumah, ladang, tanah nenek moyang dan banyak lagi.

Bagaimanapun, penduduk terjejas itu telah diberikankan pampasan pertama iaitu 50 peratus sebelum Pilihan Raya Negeri diadakan.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Masing berhubung bahaya untuk memberi mandat kepada pembangkang dalam laporan akhbar pada 23 Ogos, Baru berkata:

“Pakatan Rakyat (PR) menawarkan rekod positif di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang selain janji untuk menubuhkan kerajaan persekutuan yang cekap, bertanggungjawab dan telus.

“Rakyat sekarang cukup matang untuk menyedari barisan pemimpin sekarang tidak ada dasar yang bagus untuk dijual atau rekod untuk menyokongnya, sebab itulah mereka cuba menjaja ketakutan,” kata Baru.

No comments:

Post a Comment