Kota Kinabalu: Sabah dan Sarawak, dua negeri paling banyak mendapat manfaat menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi luar bandar, sepanjang pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 1.0.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata sebahagian besar projek sepanjang 2010 sehingga 2012 di dua negeri itu membabitkan pengisian kemudahan asas luar bandar yang memberi manfaat besar kepada golongan sasar dan dengan sendirinya mengubah taraf hidup serta sosio-ekonomi mereka.
Punyai keperluan berbeza
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak sasaran yang boleh dicapai apabila mahu melakukan transformasi di negara ini. Dalam hal ini, Sabah dan Sarawak yang mempunyai keperluan berbeza berbanding Semenanjung, mendapat pelbagai limpahan kemudahan asas yang memanfaatkan rakyatnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Hari Terbuka Hala Tuju GTP 2.0 peringkat Sabah anjuran Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), di sini semalam. Program sehari bagi memberi penerangan mengenai kejayaan dicapai PEMANDU sebagai badan penggerak GTP dan NKRA itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.
Idris yang juga Ketua Eksekutif PEMANDU, berkata pelaksanaan hala tuju GTP 2.0 di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak adalah berbeza, sesuai dengan keperluan berlainan mengikut kawasan.
NKRA letak sasaran
Sebagai contoh, katanya, NKRA luar bandar meletak sasaran 95 peratus liputan infrastruktur di seluruh Sabah yang antara lain membabitkan keperluan menyediakan jalan raya, air dan elektrik bagi golongan sasar.
“Untuk seluruh negara, kita menyasarkan menaik taraf jalan raya sepanjang 1,007 kilometer yang bakal memanfaatkan 213,435 pengguna. Selain itu, 74,094 isi rumah di seluruh negara bakal menikmati bekalan air, manakala elektrik pula membabitkan 11,886 isi rumah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kejayaan penerjun negara, Pandelela Rinong memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik di London harus menjadi inspirasi buat rakyat membantu melonjakkan Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Katanya, tahap kompetitif tinggi dimiliki atlit terjun berkenaan mendorong gadis kelahiran Sarawak itu menjadi antara yang terbaik di dunia dan sikap sedemikian harus dicontohi rakyat Malaysia dalam setiap bidang.
No comments:
Post a Comment