Wednesday 1 August 2012

Serian kawasan putih untuk Barisan Nasional: Riot

KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem semalam berkata konstituensi itu merupakan kawasan putih untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Serian adalah kawasan putih. Saya berani katakan begitu,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri majlis Kursus Asas Teknologi Tanaman Koko dan Penyerahan Insentif Program Tanaman Baharu Koko dan Lada bagi bahagian Serian di Dewan Masyarakat Serian, kira-kira 60 kilometer dari sini, semalam.

Riot yang juga Menteri Luar yang dipilih sebagai Timbalan Presiden semasa Persidangan Delegari Tiga Tahun Sekali (TDC) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Disember tahun lepas bagaimanapun berkata sama ada beliau akan dicalonkan semula atau sebaliknya terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat untuk membuat keputusan.

“Sama ada saya akan dicalonkan semula atau tidak saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

“Namun sebagai Timbalan Presiden parti saya tahu apa yang berlaku kerana kami baru sahaja mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) minggu lepas dan kami telahpun menghantar senarai calon kepada PM,” jelasnya.

Bagaimanapun beliau tidak memberitahu sama ada namanya tersenarai dalam senarai calon itu walaupun spekulasi hangat mengaitkan beliau akan mengekalkan kerusi Bidayuh itu untuk sepenggal lagi.

No comments:

Post a Comment