Thursday 9 August 2012

Tingkatkan royalti minyak

Kerajaan persekutuan diminta semak semula royalti 5% kepada Sarawak

KUCHING: Pemimpin negeri dalam kerajaan dan bari-san pembangkang menyuarakan hasrat yang sama agar kerajaan persekutuan menyemak semula royalti petroleum sebanyak lima peratus yang dibayar kepada Sarawak sejak empat dekad lalu.

Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing berkata jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan untuk meneliti royalti petroleum bagi negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia harus juga merangkumi Sarawak dan Sabah.

“Memandangkan Sarawak dan Sabah adalah penyumbang utama kepada pengeluaran petroleum negara, royalti lima peratus bagi kedua-dua negeri harus disemak semula dan dipinda,” kata Masing kepada Borneo Post di sini semalam.

Bagaimanapun Masing menegaskan kuantum bagi Sarawak harus ditentukan berdasarkan saranan jawatankuasa khas berkenaan yang seharusnya turut dianggotai anak Sarawak.

Pada minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti royalti petroleum kepada negeri-negeri pantai timur.

Najib menyatakan jawatankuasa itu diberi tempoh enam bulan untuk mengkaji perkara itu sebelum membuat saranan kepada kerajaan per-sekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz juga telah menyatakan penubuhan jawatankuasa sedemikian akan menamatkan segala persoalan mengenai perkara ter-babit.

Nazri berkata penubuhan panel berkenaan mungkin juga ada kaitan dengan bapa Najib sendiri, iaitu Perdana Menteri kedua yang menjanjikan royalti bagi negeri-negeri yang menghasilkan minyak.

“Perkara ini ada sejarah yang lama. Ia bermula apabila Tun Abdul Razak Hussein bercakap mengenai pemberian royalti minyak dalam Dewan Rakyat pada zaman 1970-an.

“Berdasarkan ucapan itu, Najib mungkin merasakan sesuatu perlu dilakukan dan itulah sebabnya kenapa sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan,” kata Nazri di Kuala Lumpur pada Selasa lepas.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Sarawak Wong Ho Leng menyokong langkah sedemikian sebagai sudah tiba pada waktunya, dan Pakatan Rakyat sebenarnya telah menuntut agar Sarawak dan Sabah diberi royalti sebanyak 20 peratus kerana kedua-dua negeri dianggap ‘masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan infrastruktur’.

“Malah Ketua Menteri kita dalam ucapan penggulungannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) mengakui bahawa negeri kita sebenarnya ketinggalan 20 tahun di belakang Semenanjung Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur,” katanya.

Wong menyatakan ‘kita dipaksa menerima royalti minyak sebanyak lima peratus pada zaman 70-an tanpa rundingan sebenar’.

“Malah parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak dan Sabah pernah banyak kali memohon agar royalti minyak disemak semula,” katanya.

Wong turut menegaskan bahawa wang yang lebih banyak daripada royalti minyak boleh digunakan untuk meningkatkan lagi pembangunan di Sarawak yang beliau dakwa adalah negeri keempat paling miskin sekarang di Malaysia dan di Sabah yang dianggapnya sebagai negeri paling mundur.

“Ia adalah tugas kerajaan persekutuan untuk menjaga kepentingan Sarawak dan Sabah supaya kedua-duanya setanding sekurang-kurangnya dengan beberapa negeri di Semenanjung Malaysia,” kata Wong yang juga ADUN Bukit Assek dan Ahli Parlimen Bandar Sibu.

Timbalan Ketua Wanita BN Sarawak dan Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah menegaskan, memandangkan perjanjian mengenai royalti sebanyak lima peratus itu dibuat lebih empat dekad lalu, masanya sudah tiba untuk membuat semakan semula.

“Pengeluaran petroleum sudah meningkat disebabkan oleh kemajuan teknologi yang bermakna pendapatan juga akan meningkat. Maka itu ia adalah logik untuk menyemak semula kuantum,” katanya.

Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata Sarawak masih amat memerlukan kemudahan sekolah yang lebih baik terutama di kawasan luar bandar di mana kebanyakan sekolah dibina oleh majlis tempatan pada zaman 1960an.

Menteri Muda Kesihatan Awam dan ADUN Bengoh Dr Jerip Susil percaya barisan kepimpinan negeri menyedari tentang kuantum sebenar yang sepatutnya diberikan oleh Petronas.

“Namun kita mesti menyedari penerokaan dan pencarian minyak dan gas sangat mahal.

“Maka itu lima peratus yang ada sekarang adalah lebih baik berbanding tiada langsung.

“Bagaimanapun jika isu itu menuntut semakan semula, Sarawak harus juga diambil kira, kerana kita adalah penyumbang petroleum yang penting di negara ini,” kata Dr Jerip.

Ketua Pemuda BN dan PBB Datuk Fadillah Yusof berkata walaupun Sarawak tidak dapat menuntut kuantum bagi royalti minyak, beliau percaya Najib bersedia untuk mendengar rakyat yang memerlukan lebih banyak pembiayaan bagi pembangunan infrastruktur.

“Ada keperluan yang segera bagi lebih banyak pembiayaan untuk meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur dan mengurangkan jurang digital di Sarawak supaya kita dapat maju seiringan dengan negeri lain di negara ini bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi.

“Tanpa rangkaian pembangunan infrastruktur yang baik seperti jalan, bekalan elektrik dan bekalan air terutama di kawasan luar bandar, rakyat Sarawak tidak akan dapat menandingi negeri lain di negara ini,” kata Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

No comments:

Post a Comment