Thursday 30 August 2012

BN Negeri diingat terus bersatu

KUCHING: Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri diingatkan untuk terus bersatu padu bagi memastikan kedudukan terus kukuh di Sarawak.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud memberitahu, perpaduan yang dipelopori oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu amat penting kerana ia merupakan tonggak kekuatan khasnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.

“Ini asas perjuangan kita. Bila kita lupa asas perjuangan, maka lembiklah perpaduan dalam Barisan Nasional.

“Kita mahu semangat (perpaduan) ini dapat digunakan bukan sahaja untuk terus menang di Sarawak, tetapi bagi memastikan BN terus menang di peringkat pusat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Ramah-tamah Aidilfitri PBB di sini, kelmarin.

Selain PBB, tiga parti komponen BN lain adalah Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Taib yang juga pengerusi BN Negeri memberitahu, elemen itu turut menjadikan parti tersebut unik dan kuat kerana ia telah dijadikan sebagai satu budaya.

Malah dari segi sejarah katanya, PBB dibentuk hasil semangat bersatu padu tiga parti sehingga menjadikannya model parti politik untuk parti komponen lain.

“BN Sarawak tidak akan goyah kerana budaya PBB ini akan menyelamatkan kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga timbalan presiden PBB memberitahu, arus pembangunan deras yang dikecapi Sarawak hari ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa perpaduan.

Menurutnya, perpaduan yang merupakan segalanya dalam pucuk pimpinan parti mampu mempertahankan dua kerusi Parlimen iaitu Petra Jaya dan Santubong dalam PRU13 akan datang.

“Apabila beduk (pilihan) raya berbunyi, saya yakin kita mampu berjaya dengan mengambil kira prestasi pilihan raya negeri lepas,” katanya.

Manakala Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga pengerusi penganjur majlis turut percaya PBB, di bawah kepimpinan Taib merupakan parti terunggul di Sarawak.

“Tidak ada yang dapat menandingi dari segi kepimpinan dan kekukuhan daripada kepimpinan Ketua Menteri yang kita sanjungi.

“Saya yakin walaupun datang ribut dan taufan, PBB yang di bawah kepimpinan KM berupaya mengatasi segalanya,” katanya.

No comments:

Post a Comment