Wednesday 15 August 2012

OUNA sambut baik pelantikan pasukan penguat kuasa PRU13




ABU BAKAR
KUCHING: Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA) menyambut baik atas pelantikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya yang bakal diadakan.

Presidennya, Datuk Abu Bakar Abdullah berkata OUNA amat menyanjung tinggi atas penubuhan Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memantau Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata, OUNA akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPR bagi memastikan PRU13 berjalan dengan lancar dan sempurna.

“Kami (OUNA) telah menubuh pasukan untuk memantau PRU13 nanti seperti mana yang telah diamanahkan oleh SPR,” katanya di sini semalam.

Menurut Abu Bakar, OUNA berasa amat bertuah kerana telah dipilih bersama-sama 63 lagi pasukan terdiri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, OUNA akan memainkan peranan sebagai pasukan pemantau untuk menjaga ketenteraman awam sepanjang tempoh berkempen pada PRU13 kelak.

“Dengan keahlian yang ramai seluruh negeri, saya yakin kami mampu melaksanakan tugas sebagai pasukan pemantau pada PRU13 kelak,” katanya.

Selain OUNA, turut dilantik sebagai pasukan pemantau PRU13 ialah Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS), Persatuan Kebangsaan Belia Islam (PKBI) Cawangan Sarawak dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS).

Di samping itu, katanya, SPR juga melantik pemerhati asing dari kalangan negara ASEAN dan kemungkinan pemerhati antarabangsa.

Abu Bakar menarik perhatian setiap pasukan pemantau akan diketuai oleh seorang pegawai SPR selaku pegawai penguat kuasa dan dianggotai pegawai polis, pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon terbabit.

Beliau berkata, peranan dan tanggungjawab PP-KPR ialah memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku sepanjang tempoh berkempen pada PRU13 nanti.

“Kami akan memastikan tiada insiden berlaku sebaik selepas Parlimen dibubarkan sehingga pusat mengundi ditutup pada hari pengundian,” katanya.

No comments:

Post a Comment