KUCHING: Pimpinan muda empat parti komponen Barisan Nasional (BN) Negeri akan terus bekerjasama untuk memastikan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) kembali merampas kerusi P195 Bandar Kuching dan mengekalkan P196 Stampin.
Ketua Puteri Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Barbara Mawan berkata, kerjasama yang ditunjukkan keempat-keempat parti komponen setakat ini amat menggalakkan dan positif dengan berteraskan semangat adik-beradik.
“Kami percaya semua parti komponen dapat terus bekerjasama.
“Apa yang kami lakukan ini adalah berteraskan semangat tolong-menolong supaya SUPP dapat kembali merampas Bandar Kuching dan mengekalkan Stampin pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti,” katanya dalam sidang media di sini, malam kelmarin.
Menurutnya, PRU13 nanti juga akan memperlihatkan kombinasi keempat-empat parti komponen di setiap kawasan bagi memastikan setiap kerusi yang ditandingi calon BN menang.
“Tidak ada parti komponen akan dibiarkan berjuang bersendirian semasa menghadapi pilihan raya nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha Pemuda SUPP Wilfred Yap berkata, sokongan yang ditunjukkan parti komponen BN lain amat menakjubkan untuk memastikan SUPP kembali menawan Bandar Kuching dan mengekalkan Stampin.
“Ini merupakan kali pertama kita berjuang bersama. Saya percaya kalau berjuang secara berkumpulan, sudah pasti keputusan positif mampu dicapai,” jelasnya.
Menurutnya, perjuangan secara sihat akan terus diamalkan dengan memberi khidmat terbaik yang diperlukan rakyat tanpa menimbulkan sebarang isu yang mengelirukan.
“Kita berjuang secara sihat tanpa menimbulkan sesuatu yang mungkin mengelirukan rakyat,” kata Wilfred.
No comments:
Post a Comment