Wednesday 1 August 2012

Orang Ulu dinasihat sokongBN demi pembangunan

KAPIT 30 Julai - Masyarakat orang Ulu di kawasan Parlimen Hulu Rajang dinasihatkan terus menyokong calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Billy Abit Joo berkata, pendirian itu perlu dijadikan pegangan rakyat walaupun bayangan calon sebenar yang akan mewakili BN di kawasan itu belum diketahui.

"Apa yang kita harapkan ialah untuk terus menikmati arus pembangunan, jadi rakyat di kawasan ini hendaklah kekal menyokong BN.

"Kita belum pasti siapa calon BN di sini kerana semua itu bergantung kepada pemimpin tertinggi, yang penting adalah peranan kita sebagai rakyat bagi memastikan kawasan kita terus maju," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), mesin padi, mesin getah dan bantuan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Uma Bakah, Sungai Asap, Belaga di sini semalam.

Sempena majlis tersebut, seramai 820 orang menerima BR1M di bawah kelulusan Khas Pribumi Sarawak untuk Rayuan BR1M, Seramai 145 daripadanya adalah penduduk Uma Bakah.

Sementara itu, ketika mengulas berita bahawa beliau akan digantikan calon muka baru pada pilihan raya umum akan datang, Billy Abit berkata, selagi masih menjadi wakil rakyat, beliau akan tetap meneruskan khidmat kepada rakyat.

"Saya akan meneruskan perjuangan politik sehingga saya sendiri membuat keputusan untuk mengundur diri.

"Berdasarkan sokongan pada masa ini, saya yakin mampu menang dengan majoriti yang lebih baik sekiranya dicalonkan," katanya.

No comments:

Post a Comment