Friday 3 August 2012

Rafizi mengaku tidak bersalah dedah penyata akaun berkaitan NFC

SHAH ALAM: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli semalam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan mendedahkan penyata akaun projek National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang menimbulkan kontroversi kepada dua pengamal media.

Mohd Rafizi, 35, didakwa mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square Jalan Tropicana Selatan Petaling Jaya pada 7 Mac lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kerani bank Johari Mohamad, 41, yang didakwa bersubahat dengan Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama, juga mengaku tidak bersalah.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 103 akta yang sama.

Hakim Aslam Zainuddin menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin masing-masing ke atas kedua-dua tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semulakedua-dua kes pada 10 Sept ini dan kedua-dua kes dibicarakan serentak.

Kedua-dua tertuduh diwakili peguam N. Surendran.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri telah menyediakan dana khas bagi membiayai kos guaman MohdRafizi iaitu RM500,000 atau 10 peratus daripada dana RM5 juta yang disediakan di bawah peruntukan untuk pemberi maklumat kepada kegiatan rasuah.

Dana RM5 juta itu merupakan peruntukan yang disediakan di bawah Geran Selangorku yang berjumlah RM300 juta, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini semalam. — Bernama

No comments:

Post a Comment