KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mengalami kerugian lebih RM12,000 selepas ibu pejabatnya di Jalan Badruddin di sini, dipecah masuk semalam.
Dalam insiden yang disedari sekitar jam 8 pagi itu, ikan Arowana sepanjang le-bih satu kaki, dianggarkan bernilai lebih RM10,000 yang terletak di pejabat Pre-siden parti, Tan Sri William Mawan Ikom dilaporkan hilang.
Antara barangan yang turut hilang ialah empat set komputer jenama Acer, tiga set komputer jenama Chemai, telefon, beberapa fail dan peti simpanan wang yang mengan-dungi wang tunai berjumlah RM1,900.
Ketua Polis Daerah Ku-ching (KPD) ACP Roslan Bek Ahmad memberitahu, modus operandi penjenayah adalah masuk melalui pintu gril tepi pejabat dengan memotong mangga dan keluar mengikut jalan sama.
“Kes ini merupakan satu kes pecah rumah dan curi dan dipercayai tidak ada unsur sa-botaj politik,” katanya sambil menambah pasukan forensik sedang menganalisis bukti di tempat kejadian.
Namun demikian, Roslan menambah, jumlah kerugian dan kehilangan sebenar belum dapat dipastikan.
Katanya, siasatan awal mendapati hanya barangan berharga dan wang tunai dicuri.
Setakat ini, belum ada suspek ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining berkata, parti tidak akan membuat sebarang kesimpulan berhubung insi-den itu, sekurang-kurangnya sehingga siasatan polis selesai.
Menurut beliau, masih terlalu awal untuk menyifatkan kes itu berunsurkan politik atau sebaliknya memandangkan siasatan belum selesai.
“Setakat ini kita tidak boleh berkata demikian kerana kes pecah masuk boleh berlaku di mana-mana tanpa mengira tempat… jadi kita serahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ditanya sama ada SPDP gentar beberapa maklumat sulit parti akan terbocor dengan kehilangan beberapa dokumen dan komputer, Nelson yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan berkata, kesemua maklumat dalam fail dan komputer tersebut adalah maklumat biasa.
“Tidak ada perkara sulit akan terbongkar memandangkan dalam fail dan komputer itu hanyalah maklumat biasa,” katanya sambil menambah, angka kerugian tidak besar.
sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment