Friday 10 August 2012

Peluang untuk mentransformasikan SPDP: Mawan

Peletakan jawatan Wong Judat dilihat sebagai permulaan untuk membina semula parti ini


KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) melihat peletakan jawatan Wong Judat sebagai permulaan untuk membina semula dan mentransformasikan parti itu.

Malah Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom melihat isu peletakan jawatan melibatkan ahlinya bukan masalah baharu dialami SPDP kerana sebelum ini lima ahlinya mengambil keputusan meninggalkan parti itu.

Mereka yang dimaksudkan beliau ialah Datuk Peter Nansian (Tasik Biru), Rosey Yunus (Bekenu), Datuk Sylvester Entri (Marudi) dan Paulus Palu Gumbang (Batu Danau) serta seorang Ahli Parlimennya Datuk Dr Tiki Lafe (Mas Gading) yang popular dengan gelaran kumpulan berlima SPDP.

Beliau berkata selepas 10 tahun diwujudkan, SPDP perlu melakukan semakan semula sepenuhnya, mengubah parti, melakukan penjenamaan semula dan isu keluar masuk parti merupakan perkara lazim dalam politik.

Menurutnya apa yang berlaku kepada SPDP ketika ini tidak akan menghentikan perjuangan, misi, impian dan harapan parti.

“Apa yang dialami SPDP sejak kebelakangan ini bermula dengan lima YB (Yang Berhormat) meninggalkan parti, hanya suatu yang bersifat sementara termasuk kes Wong Judat. Ia bukan suatu yang berkekalan, hanya fenomena sementara.

“Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri SPDP dan terkini Meluan sudah tidak ada lagi.

“Kita ada kerusi yang kosong. Jangan lupa kita ada banyak peluang dalam jawatankuasa untuk orang baharu, golongan muda dan golongan profesional.

“Sebelum ini kita melangkah dan sedikit tersandung tetapi saya percaya belum terlambat untuk kita bangkit semula meneruskan perjuangan,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata ketika ini SPDP giat menjalankan kempen merekrut ahli-ahli baharu di kalangan belia dan sayap Pemuda dan Puteri begitu komited melakukan kempen keahlian di kolej-kolej serta universiti-universiti.

Terdahulu beliau menyerahkan trofi kejuaraan kepada Kelab Golf Sarawak (KGS) bagi Kejohanan KGS Captain’s Alumni Inter School di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, dekat sini.

Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial berkata apabila pilihan raya tiba, parti akan meletakkan calon-calon untuk mempertahankan kerusi-kerusi diperuntukkan kepada SPDP iaitu enam kerusi DUN dan empat kerusi Parlimen (Mas Gading, Saratok, Bintulu dan Baram).

“Dalam Barisan Nasional (BN) kita ada prinsip yang dipatuhi serta dipegang.

“Tidak bermakna kalau parti komponen kehilangan kerusinya ia akan diambil parti komponen lain. Malah kalau tiga kali kalah (dalam pilihan raya), parti tidak akan kehilangan kerusi, ia akan kekal sehingga ia dimenangi semula.

“Begitu jugalah halnya dengan kerusi-kerusi milik SPDP… perkara ini (peletakan beberapa ahli parti) sudah berlaku dan saya tidak boleh menoleh ke belakang, saya perlu menunggu beberapa tahun untuk meletakkan YB-YB saya untuk mempertahankan kerusi milik SPDP,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pengunduran Wong, Mawan berkata pihaknya sudah menerima surat peletakan jawatan ADUN Meluan yang juga Naib presiden SPDP itu kelmarin menerusi kurier.

Beliau memberitahu, parti akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dalam waktu terdekat ini untuk membincangkan peletakan jawatan Wong dan akan menerima permohonan itu.

“Ya, parti sudah menerimanya (surat peletakan jawatan Wong) dan parti perlu mengikut prosedur sedia ada.

“Majlis Tertinggi akan bermesyuarat, membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci dan saya boleh katakan di sini, kita terima peletakan jawatannya itu.

“Tambahan pula difahamkan beliau sudahpun menyertai parti lain dan bakal menentang calon BN pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Kalau ikut perlembagaan parti, kalau ahlinya telah menyertai parti lain dan kalau dia tidak meletak jawatan, parti akan memecatnya,” ujarnya.






No comments:

Post a Comment