Friday 3 August 2012

Segelintir ahli PRS Balai Ringin ada muslihat politik negatif: Snowdan

SERIAN: Timbalan Setiausaha Agung Parti Rakyat Sarawak (PRS) Snowdan Lawan me- nyifatkan segelintir ahli parti-nya di Balai Ringin dekat sini sebagai mempunyai muslihat politik negatif.

Snowdan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin tidak bertapis dengan perkataannya apabila memanggil ahli-ahli parti yang menyeleweng ini sebagai tukang.

Tukang-tukang ini katanya bersekongkol kerana mereka mahu keluar daripada situasi cemas yang dihadapi oleh mereka susulan laporan mengenai tindakan mereka dalam buletin Iban, Kenyalang.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan jerayawara BERNAS-SABERKAS Bubur Lambuk/Bubur Pedas di Kampung Sabal Jaya, Sungai Kura di Balai Ringin petang kelmarin.

Menurut Snowdan: “Mereka mesti mempunyai rasa tidak selamat mengenai pendirian politik mereka sekarang.

“Jika mereka rasa selamat, mengapa mereka perlu membuat muslihat politik negatif ini?”

Beliau mendakwa tindakan mereka yang digelar tukang itu telah memberi kesan kepada pemimpin masyarakat dan pegawai daerah kecewa apabila mereka tidak hadir pada kursus sedangkan telah diberi elaun.

“Saya sangat kecewa dengan insiden ini apatah ia hanya berlaku di kawasan saya,” katanya sambil menambah tukang-tukang ini berkemungkinan cuba mensabotaj majlis-majlis BN yang dirasmikan oleh beliau.

Tambah Snowdan, tindakan tukang-tukang tersebut juga berkemungkinan ada kaitan dengan hasrat bapanya, Do-nald Lawan bertanding di Sri Aman menentang penyandang-nya Masir Kujat.

“Bapa saya adalah usahawan dan beliau bebas untuk melakukan apa sahaja termasuk hak demokratik. Tetapi tidak bermaksud saya mempunyai pendirian politik yang sama sepertinya.

“Tetapi setakat yang saya tahu, bapa saya adalah orang BN kerana beliau tidak pernah bercakap buruk mengenai BN,” kata Snowdan.

Terdahulu, Snowdan berterima kasih kepada BERNAS atas usaha agresif program tanggungjawab sosial korporat dan salah satu daripadanya adalah yang dianjurkan bersama SABERKAS, mengagihkan bubur sepanjang Ramadan.

Pengagihan bubur tersebut melibatkan masyarakat Iban yang memeluk agama Islam dari Sabal Jaya Sungai Kura, Spaoh, Sabal Keruin, Sabal Aping, Telagus, Ensebang Jaya, Ensebang Quari, Sabal Tapang, Balai Ringin, Semalatong, Mawang, Sebankoi dan Simpang Punda.

Pada majlis itu Snowdan turut menyumbang RM2,000 kepada JKKK Kampung Sabal Jaya untuk membiayai aktiviti-aktiviti mereka.

Turut hadir, Pegawai Perhubungan BERNAS Sahrien Maloh dan wakil SABERKAS Abang Abdul Aziz Abang Abdul Rauf dan Penghulu Balai Ringin Peli Jumbu.

No comments:

Post a Comment