Friday 24 August 2012

Bincang kajian royalti secara tertutup: Masing

Perbincangan terbuka mungkin boleh dipolitikkan dan akhirnya tiada kata putus dicapai

KUCHING: Perbincangan terbuka mengenai kajian semula bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak perlu dilakukan secara tertutup bagi mengelak ia daripada dipolitikkan pihak tertentu.

Menteri Kanan Negeri Tan Sri James Masing berkata Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud) pastinya mempunyai alasan kukuh untuk berbuat demikian dan ia tidak perlu dimaklumkan kepada umum.

“Banyak masalah boleh diselesaikan secara tertutup.

“Perbincangan terbuka terhadap isu-isu tertentu mungkin boleh dipolitikkan dan akhirnya tiada kata putus dicapai…bunyi bising sahaja tetapi tiada apa-apa akhirnya,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah berkata, royalti minyak dan gas mungkin antara isu yang perlukan rundingan empat mata antara pemimpin terlibat, tidak kira siapapun mereka.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Sentosa yang meminta Ketua Menteri menubuhkan satu jawatankuasa khas terdiri daripada wakil Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berbincang dengan kerajaan pusat mengenai usaha mengkaji semula bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Chong Chieng Jen berkata dengan penubuhan jawatankuasa itu ia membuktikan kerajaan benar-benar ikhlas untuk mengkaji semula bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol pula menasihati pakatan pembangkang agar menubuhkan jawatankuasa dianggotai wakil daripada kalangan parti pembangkang bagi membincangkan cara mereka menunaikan janji-janji kepada rakyat yang masih belum dipenuhi sebelum mencadangkan jawatankuasa khas membincangkan isu royalti minyak dan gas untuk Sarawak.

“YB Chong bercakap sembarangan dan melulu apabila mempersoalkan keikhlasan kita (BN). Sebaliknya campur tangan pakatan terhadap isu ini boleh menjejaskan usaha ikhlas BN ini.

“Mereka (pakatan pembangkang) telah membuat terlalu banyak janji yang tidak dapat dipenuhi sedangkan mereka sendiri tahu yang mereka tidak mampu menunaikannya.

“Mereka sebelum ini telah berjanji untuk menaikkan royalti minyak dan gas tetapi hingga kini mereka gagal menjelaskan bagaimana hendak melakukannya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu.

Menteri Muda Pembangunan Belia yang juga ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah berkata BN mempunyai caranya sendiri untuk menyelesaikan isu-isu tertentu.

Menurutnya BN menyelesaikan masalah secara senyap dan melakukan apa yang dirasakan terbaik untuk rakyat dan negara tanpa berasa takut.

“BN menyelesaikan masalah dengan senyap tanpa perlu membunyikan gendang atau gong, apa yang kami rasakan baik untuk rakyat dan negara, kami akan lakukan tanpa takut.

“Pembangkang sentiasa mempunyai motif tersirat dalam apa jua yang dilakukan dan bertujuan untuk mendapatkan sokongan politik.

“Cadangan menubuhkan jawatankuasa khas itu kerana tidak mahu ketinggalan dan mahu mendapat nama untuk sesuatu yang BN boleh lakukan sendiri,” ujarnya.

Menurutnya banyak dasar dan pembangunan yang baik di negara ini sekarang dilakukan oleh BN secara tertutup tanpa memerlukan maklum balas daripada pembangkang.

Sudah tentu katanya, sebaik sahaja dasar dan pembangunan ini dimuktamadkan, ia akan didedahkan kepada umum dan pada masa itu DAP atau pembangkang oleh mengulas, mengkritik atau menyokongnya.

“Buat masa ini biarlah pemimpin tertinggi BN di peringkat persekutuan dan negeri mengadakan perbincangan dahulu.

“YB Chong boleh memberi pandangan atau komen beliau selepas keputusannya diketahui kelak,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment