Friday 10 August 2012

Nansian akan pastikan BN pertahan Mas Gading dengan majoriti besar

BAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie akan memastikan Barisan Nasional (BN) bukan hanya dapat mempertahankan Mas Gading tetapi memenanginya dengan majoriti yang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Katanya walaupun tidak berparti, beliau masih merupakan wakil rakyat BN dan atas kapasiti tersebut beliau akan tetap berusaha menyatukan jentera BN di konstituensi tersebut supaya dapat bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya.

“Kuncinya ialah me-ngekalkan jentera BN dan memastikan para penyokong memberi sokongan penuh.

“Kita sedaya upaya mahu memastikan mencapai kemenangan yang besar,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan geran projek kecil luar bandar (MRP) bagi DUN Tasik Biru di Majlis Daerah Bau, di sini semalam.

Nansian yang juga Menteri Muda Kemajuan Industri (Pembangunan Estet Perindustrian) menegaskan kepada semua penyokong BN di Bau agar tidak melihat perkara yang telah berlalu, tetapi memandang ke hadapan untuk terus mencapai kemajuan.

“Penyokong-penyokong akan memberikan sokongan padu kepada sesiapa sahaja calon yang diletakkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) di Mas Gading,” katanya.

Mengenai isu di Mas Gading, bekas Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu berkata beliau tidak melihat sebarang isu besar yang berlaku.

Mas Gading kini disandang oleh Datuk Dr Tiki Lafe yang juga telah keluar daripada SPDP.

Tasik Biru merupakan salah satu daripada kerusi DUN di Mas Gading, selain Opar.

No comments:

Post a Comment