Sikap pentingkan diri kepemimpinan parti kikis kepercayaan rakyat
Penafian Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berhubung laporan sebuah blog kononnya beliau mengkritik Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan melabelnya sebagai angkuh dan sombong, belum cukup untuk menangkis tanggapan umum bahawa Setiausaha Agung DAP itu memang mempamerkan ciri-ciri kediktatoran terutama sejak partinya mengetuai kerajaan negeri itu. Yang jelas Guan Eng bukan lagi ahli politik muda mudah didekati dan sedia menerima pandangan orang lain terutama wartawan seperti sering dilakukannya di lobi Dewan Rakyat sewaktu menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka dahulu. Memang kuasa dan takhta boleh mengubah sikap seseorang dan Guan Eng tidak terkecuali. Bezanya, perubahan sikap Guan Eng terserlah belumpun habis sepenggal menjadi Ketua Menteri berbanding pemimpin lain yang cenderung menjadi diktator selepas memimpin berpuluh tahun.
Perubahan sikap Guan Eng terserlah ketika belumpun habis sepenggal menjadi Ketua Menteri berbanding pemimpin lain yang cenderung menjadi diktator selepas memimpin berpuluh tahun”Jika perbalahannya dengan Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin sehingga pemimpin PKR itu meletak jawatan pada 2010 boleh dianggap sebagai konflik personaliti, pengunduran dan pemecatan beberapa pemimpin DAP dan PKR dalam kerajaan selepas itu memberi petanda ada sesuatu yang tidak kena dengan kepemimpinan Guan Eng.
Laporan berdasarkan minit mesyuarat strategik PKR yang memetik Mansor sebagai berkata: “Kamu tau dia (Guan Eng) angkuh...sombong dan angkuh. Bukan mudah. Sekarang ini lebih angkuh. Sebab dia (Guan Eng) menang banyak. Mereka (DAP) dah pasti menang 19 dan mahu menang lebih lagi…”, walaupun dinafikan Mansor kelmarin, hanya mengesahkan dakwaan beberapa bekas pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini mengenai Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, menjadikan sikap Guan Eng yang ‘diktator, perkauman dan berfikiran komunis’ sebagai antara faktor beliau meninggalkan Pakatan Rakyat dan menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Terbaru, Mei lalu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, pemimpin paling kanan Melayu dalam DAP, meletak jawatan sebagai naib pengerusi dan keluar parti itu kerana perselisihan pendapat secara terbuka antara beliau dengan pemimpin DAP, termasuk Guan Eng berhubung perhimpunan BERSIH.
Kejengkelan terhadap keangkuhan Guan Eng itu tidak hanya terbatas di kalangan pemimpin politik tetapi sudah lama menular di kalangan wartawan media Cina yang satu ketika pernah mengidolakan Setiausaha Agung DAP itu sebagai Ketua Menteri contoh. Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, Guan Eng bukan saja sukar didekati, malah sering kali gagal mengawal kemarahannya kepada wartawan yang melaporkan kelemahan kepemimpinannya dan kerajaan negeri.
Malah, Guan Eng dilaporkan kerap menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ‘memaki’ editor media Cina di Pulau Pinang apabila membuat laporan yang tidak memihak kepada beliau. Tidak cukup dengan itu, Guan Eng dilaporkan mempunyai ‘tentera maya’ yang turut bersikap angkuh terhadap media dengan ‘menyerang’ wartawan yang mengkritik beliau melalui laman sosial.
Barangkali, disebabkan tidak lagi boleh mengharapkan akhbar Cina memberikan publisiti untuknya, Guan Eng menjadikan akhbar kerajaan negeri Buletin Mutiara sebagai wadah menonjolkan dirinya kepada rakyat Pulau Pinang. Pada keluaran Mei lalu, akhbar setebal 28 halaman itu menyiarkan 51 gambarnya. Selepas mendapat kritikan teruk, keluaran Buletin Mutiara selepas itu mengurangkan gambarnya kepada 28.
Selama ini kita hanya mendengar tindak tanduk pemimpin sedemikian hanya wujud di negara komunis dan dunia ketiga seperti di beberapa negara Afrika, bukannya di dalam parti yang mendakwa menganut fahaman demokratik di sebuah negeri antara termaju di negara ini. Di kalangan pemimpin dan parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO yang kononnya tidak demokratik, tidak pernah berlaku seperti itu walaupun selepas memimpin beberapa penggal.
Begitupun, BN jangan terlalu mengharapkan keangkuhan DAP dan Guan Eng itu memudahkan mereka merampas Pulau Pinang dalam pilihan raya kali ini. DAP bersikap angkuh kerana mereka yakin bukan saja sebahagian besar pengundi Cina, malah ahli PAS dan PKR, akan terus menyokong mereka.
Bagi pemimpin DAP, terutama Guan Eng, selagi pemimpin Melayu dalam PAS dan PKR sedia mengerahkan penyokong masing-masing untuk mengundi calon DAP, semakin dekatlah parti itu mencapai impian mereka menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang. Soal orang bercakap mengenai keangkuhan dan kediktatoran tidak penting selagi DAP mendapat sokongan kuat PAS dan PKR.