Monday 16 July 2012

Wilson Ugak dicalon ganti Billy di Hulu Rajang

KAPIT: Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri James Masing mengesahkan bahawa Wilson Ugak Kumbong akan dicalonkan menggantikan Datuk Billy Abit Joo mempertahankan kerusi Hulu Rajang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Jawatankuasa pilihan raya yang terdiri daripada presiden, setiausaha agung, ketua pemuda dan ketua wanita telah membuat keputusan untuk mengekalkan lima penyandang kecuali kerusi Hulu Rajang.

“Selepas membuat pertimbangan sepenuhnya, kami bersetuju untuk mencalonkan Wilson Ugak Kumbong untuk Hulu Rajang memandangkan beliau sudah menjadi pengarah operasi pilihan raya untuk Datuk Billy selama lima kali dan sebagai pengarah operasi pilihan raya saya selama tujuh kali,” ujarnya.

Masing berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat serta Majlis Ngiling Bidai di Rumah Wong Lubok Buing, Baleh malam Sabtu lepas.

Pertukaran calon untuk kerusi Hulu Rajang katanya telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat.

“Hulu Rajang adalah kerusi yang diperuntukkan oleh BN untuk PRS jadi parti ada hak untuk memilih calon terbaik bagi memastikan kita (BN) berjaya mempertahankan kerusi ini,” katanya.

Masing yang juga Menteri Kanan dan Menteri Kemajuan Tanah berkata beliau optimis Ugak, yang juga setiausaha sulitnya akan mendapat sokongan kuat daripada akar umbi di kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu Baleh dan Belaga.

Ugak, 50, berasal dari Baleh manakala isterinya dari keluarga yang dikenali umum di Punan Bah, Belaga.

“Alasan PRS menggugurkan Datuk Billy bukan kerana soal peribadi atau perkauman tetapi yang jelas beliau sudah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal dan beliau sudah mencapai kemuncak politiknya,” jelas Masing.

No comments:

Post a Comment