Monday 23 July 2012

Minimumkan kesilapan pilihan raya

by Kepu Sidi. 


Pendedahan di peringkat awal khususnya berkaitan disiplin akan dipergiat: Jelaing

SARATOK: Timbalan Menteri Pengangkutan Jelaing Mersat berkata, untuk memastikan jentera parti mampu berjalan dengan lancar, pendedahan di peringkat awal khususnya yang berkaitan dengan disiplin sewaktu musim pilihan raya akan dipergiatkan dari semasa ke semasa.

Kata Jelaing, usaha itu termasuk prosedur dan pengurusan dalam menghadapi pilihan raya akan datang agar segala kesilapan tertentu dapat dielak atau diminimumkan.

“Pada masa yang sama, seminar yang telah dijalankan sepanjang satu hari ini juga telah kita manfaatkan untuk memberi pengetahuan kepada wakil-wakil parti kita yang mungkin bertugas pada pilihan raya nanti tentang peraturan dan undang-undang baharu pilihan raya yang telah digubal.

“Usaha yang dilakukan ini juga adalah untuk membolehkan pihak kita menyusun dan membuat penilaian semula tentang kesilapan dan kelemahan yang telah berlaku dalam peringkat parti kita, di mana ia telah menyebabkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kita pada pilihan raya yang lepas telah jatuh ke tangan pembangkang.

“Melalui penganjuran seminar ini kita berusaha untuk mengambil dan menilai pandangan yang diutarakan oleh peringkat akar umbi dan berbincang tentang strategi baharu agar kita mampu mengembalikan sokongan dan kepercayaan rakyat khususnya di DUN N34 Krian manakala bagi N33 Kalaka pula ia adalah untuk menambahkan lagi sokongan yang telah ada,” kata Jelaing.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Seminar Persediaan Pilihan Raya Umum Ke-13 anjuran Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Cawangan Saratok di Dewan Rumah Dayak Saratok, semalam.

Seramai 400 orang yang terdiri daripada ahli SPDP dan ketua-ketua masyarakat menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Jelaing, matlamat, harapan dan perjuangan parti pada pilihan raya kali ini amat besar sekali maknanya kepada SPDP sendiri, terutama dalam langkah untuk mempertahankan kerusi Parlimen daripada jatuh ke tangan pihak pembangkang.

“Harapan kita pada masa kini adalah untuk mengekalkan majoriti kemenangan di pilihan raya tahun 2008 yang lalu pada jumlah 8,000 undi ataupun menambah lagi jumlah tersebut.

“Dalam tempoh terdekat ini juga kita akan cuba untuk mengatur mesyuarat terutama yang melibatkan Jawatankuasa Penyelaras Suruhanjaya Pilihan Raya daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Parlimen ini bagi mengatur langkah tertentu untuk membantu kita mempertahankan kerusi Barisan Nasional daripada jatuh ke tangan pembangkang,” kata Jelaing yang juga merupakan Ahli Parlimen P205 Saratok.

Turut hadir ialah Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Kijan Toynbee, Ahli Majlis Tertinggi SPDP Chambai Lindong, Dr James Chela, Ketua Wanita SPDP Cawangan Saratok Dius Kusam dan Ketua Pemuda SPDP Krian James Jimbun.

No comments:

Post a Comment