SIBU: Pengumuman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Wong Judat untuk keluar daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pada 31 Julai ini adalah cara terbaik untuk mengelakkan sebarang konflik antara Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan SPDP.
Setiausaha PRS Cawangan Skuau Tungku Balang me-negaskan bahawa Judat wajar berbuat demikian kerana beliau merupakan musuh dalam selimut Barisan Nasional (BN).
“Tindakan beliau (Wong) akan menjernihkan lagi hubu-ngan antara PRS dan SPDP.
“Ini akan mengukuhkan lagi hubungan kedua-dua parti ini sekali gus memadamkan beberapa spekulasi yang tidak baik terhadap kedua-dua parti tersebut. Dengan ini bertambah baiklah hubungan kami dengan SPDP untuk terus bersatu menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak.
“Ini kerana ‘duri dalam daging’ sudah tercabut keluar maka bertambah mudah-lah untuk kita bekerjasama kerana ‘pemberontak’ sudah keluar parti,” ujarnya kepada Utusan Borneo, semalam.
Menurutnya, jika Judat terus berada dalam SPDP dan bertindak menentang penyandang kerusi Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum, ia akan mengeruhkan lagi hubungan PRS dan SPDP, maka kedua-dua presiden parti itu akan menghadapi konflik yang boleh mengakibatkan kedua-dua parti itu bergaduh sesama sendiri dalam BN kerana tidak dapat menyelesaikan masalah kedua-dua wakil rakyat terbabit.
“Wong telah memilih jalan yang baik iaitu keluar daripada parti (BN) kerana kesungguhannya mahu menentang Salang.
“Jika terus berada dalam BN, Judat akan terus dikutuk kerana melawan sesama BN. Sekarang jika dia mahu menentang Salang, dipersilakan.
“Kita tidak berhak menghalangnya kerana dia telah melepaskan tiket BN dan berpaut di atas tiket Parti Pekerja Sarawak (SWP),” katanya.
Tungku menyifatkan masa depan politik Judat akan bertambah gelap kerana telah keluar daripada BN dan pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri yang akan datang, Wong akan menyesali tindakannya itu kerana ia memberi imej yang tidak baik kepada rakyat khususnya di kawasan Meluan.
“Mungkin penggal kali ini adalah yang terakhir buatnya. Rakyat di kawasannya sudah tahu apa yang dia telah buat dan tindakannya ini seolah-oleh meranapkan masa depannya sendiri akibat mengikut pera-saannya serta mementingkan diri sendiri,” ujarnya.
Isu Salang bukan anak jati dari daerah Julau yang sering dibangkitkan Judat katanya, tidak seharusnya dibangkitkan oleh Judat jika beliau bijak berpolitik.
Soal itu, jelas Tungku lagi, tidak menjadi masalah kerana apa yang penting seseorang wakil rakyat harus berkhidmat kepada rakyat dengan sebaik-baiknya lebih-lebih lagi dalam soal pembangunan rakyat di kawasan yang diwakilinya.
“Salang merupakan seorang wakil rakyat yang memiliki ‘pakej’. Tiada yang kurang pada diri Salang lebih-lebih lagi menjadi timbalan menteri di kabinet pusat. “Soal bukan anak jati Julau tidak ada masalah sebenarnya sedangkan beberapa wakil rakyat kita di negeri ini adalah bukan anak jati dari kawasan yang diwakili oleh mereka. Ini tidak menjadi masalah asalkan mahu bekerja untuk rakyat. Itu sahaja,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment