Oleh ASHLEY ANGGAT
utusansarawak@utusan.com.my
MIRI 1 Julai - Kebanyakan masyarakat Penan di Ba' Pakan, Sungai Patah, Ulu Baram belum memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Ketiadaan dokumen pengenalan diri itu menyebabkan hampir kesemua yang layak mengundi gagal mendaftar sebagai pemilih.
Difahamkan, sebelum ini Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sudah memasuki kawasan itu selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngai yang kerap turun padang membantu penduduk mendapatkan kad pengenalan.
Bagi urusan pendaftaran pemilih pula, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) pernah ke kampung berkenaan untuk mendaftarkan penduduk yang layak dan mempunyai pengenalan diri.
Namun, ia belum mencukupi kerana jika tidak dimaklumkan lebih awal kepada penduduk, usaha itu tidak akan berhasil kerana mereka keluar memburu dan mencari rezeki di hutan.
Seorang penduduk, Nuh Kujang, 40, ketika ditemui memberitahu, permohonannya untuk mendapatkan kad pengenalan masih dalam proses dan ia menyebabkan beliau gagal mendaftar sebagai pemilih.
"Memang saya mahu mengundi walaupun tidak berapa tahu apa itu mengundi dan kad pengenalan saya pula belum siap diproses," katanya.
Sementara itu, Galang Jukang, 35, berkata, sehingga sekarang dia tidak mendaftar sebagai pengundi kerana belum berpeluang berbuat demikian selain tidak tahu apakah makna mengundi dan faedahnya.
"Kami orang di sini mana ada masa sangat untuk benda macam itu, kalau tidak ada temu janji kami kebiasaannya tidak ada di rumah.
"Sama seperti Ketua Kampung Pada Jukang, mana ada di rumah, dia pergi ke hutan mencari rotan dan berburu bersama isterinya sampai berminggu di dalam hutan," katanya.
Seorang lagi penduduk, Jok Lalang, 38, pula memberitahu, dia memang belum memiliki sebarang pengenalan diri yang sah dan permohonan untuk mendapatkannya telah dibuat.
Katanya yang turut mengakui, penduduk di kampung berkenaan hanya berusaha memohon pengenalan diri yang sah sejak beberapa tahun yang lalu setelah mendirikan rumah dengan lebih teratur di Ba' Pakan.
No comments:
Post a Comment