MIRI 8 Julai - Jentera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu mendapatkan semula kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu sekiranya mahu memenangi kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Penganjur Sambutan Ulang Tahun SUPP ke-53, Datuk Sebastian Ting berkata, antara persepsi negatif masyarakat termasuklah parti itu mempunyai pemimpin yang sombong dan leka kerana berkuasa terlalu lama, hilang keupayaan bersuara serta sering bertelagah sesama sendiri.
"Persepsi ini menyebabkan rakyat menganggap SUPP tidak mampu mewakili mereka sehingga kita menjadi tidak relevan," katanya ketika berucap pada majlis makan malam Ulang Tahun SUPP ke-53 di sini malam tadi.
Sebastian yang juga Pengerusi SUPP Piasau berkata, barisan pimpinan perlu memikul tanggungjawab membersihkan imej parti yang terjejas kesan krisis dalaman dan bukannya mencari alasan melepaskan diri masing-masing.
"Kita tidak boleh lari daripada cabaran yang hadir di depan kita. Lari atau membuat penafian bukanlah jawapan, sebaliknya kita harus kuat, merancang dan merangka strategi untuk membaiki apa sahaja kekurangan.
"Pada masa sama, kita perlu memaksimumkan apa sahaja sumber yang kita ada untuk memastikan SUPP mampu bangkit semula," katanya.
Beliau dalam pada itu turut menyeru ahli-ahli dan pemimpin parti agar melupakan persengketaan yang pernah berlaku.
"Tidak ada cara lain, melainkan melalui perpaduan dan bersatu hati. Tanpa perpaduan, parti akan roboh. Oleh itu, saya merayu semua ahli-ahli untuk saling memaafkan dan melupakan apa sahaja persengketaan sebelum ini.
"Utamakan parti dan sisihkan kepentingan sendiri kerana jika kita berusaha bersungguh-sungguh, satu hari nanti rakyat akan kembali bersama SUPP," katanya.
SUMBER: UTUSAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment