Monday, 23 July 2012

Nansian tolak kemungkinan dua calon BN di Mas Gading

BAU: Datuk Peter Nansian Ngusie menolak kemungkinan dua calon Barisan Nasional (BN) akan bertanding merebut kerusi Parlimen Mas Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Berucap pada Program Jiwa Murni anjuran Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Tasik Biru di Kampung Bobak di sini semalam, Nansian yang merupakan jurucakap bagi Kelab BN yakin hanya seorang calon BN akan bertanding di kerusi tersebut.

Beliau yang sedar bahawa kemungkinan itu tidak akan berlaku turut percaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah membuat ulang kaji dan mengetahui calon yang boleh menang serta membantu BN membentuk kerajaan semula.

“Ada orang bertanyakan kepada saya… bagaimana YB jika BN ada dua calon di Mas Gading?

“Jawapan saya mudah. Mana mungkin BN akan mempunyai dua calon di kerusi yang sama. Mesti satu calon sahaja dan calon itu pastinya adalah individu yang boleh menang, pandai bekerja dan banyak berjasa,” katanya.

Nansian yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru turut menyatakan sokongan kepada mana-mana calon BN yang akan dipilih untuk bertanding kelak meskipun calon itu bukan calon sedia ada.

“Saya sendiri sebagai wakil rakyat di Tasik Biru ini dan Datuk Dr Tiki Lafe sebagai Ahli Parlimen Mas Gading akan terus bekerja selagi disuruh bekerja dan jika rakyat mengatakan, sebaliknya maka kita akan berhenti daripada bekerja,” tambahnya.

No comments:

Post a Comment