Monday 30 July 2012

Dr Tiki tawar diri untuk kekal di kerusi Mas Gading


KUCHING: Ahli Parlimen Mas Gading, Datuk Dr Tiki Lafe berkata tanpa mengira siapa calon bagi sesuatu kawasan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang, adalah penting untuk memastikan Barisan Nasional (BN) mencapai kemenangan.

“Keputusan seseorang calon bergantung kepada pihak pemimpin tertinggi, tetapi saya bersedia untuk menawarkan diri sebagai calon bagi mengekalkan kerusi BN Parlimen Mas Gading pada PRU13 nanti,” katanya.

Dr Tiki berkata, melihat keadaan secara menyeluruh sebagai orang biasa, beliau berpendapat banyak pencapaian melalui konsep BN yang mengutamakan kerjasama rapat untuk manfaat rakyat.

“Pembangkang tidak melihat gambaran yang lebih besar untuk memperbaiki kehidupan orang miskin, yang masih memerlukan bantuan kerajaan dalam pelbagai aspek seperti infrastruktur, pendidikan dan ekonomi.

“BN mempunyai pengalaman, kepakaran dan sumber, menjadikannya kerajaan BN sahaja mempunyai keupayaan untuk membantu rakyat,” katanya.

Dr Tiki berkata, beliau akan memastikan rakyat di Mas Gading akan mendapat apa yang mereka perlu dapatkan kerana mereka banyak bergantung kepada kerajaan.

“BN telah membawa banyak perubahan dan pembangunan tidak pernah berhenti.

“Oleh itu, adalah penting BN mampu mengekalkan kerusi Mas Gading,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Peruntukan Mayang dan NADI, di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Setiap kawasan Parlimen menerima RM10,000 di bawah program Mayang yang diperuntukkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program itu adalah langkah kerajaan membolehkan pemimpin dan rakyat mengadakan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan kebajikan, pembangunan sosial dan komuniti.




sumber:borbeopost

No comments:

Post a Comment