Saturday 14 July 2012

BN sentiasa proaktif berkhidmat kepada rakyat


by Mohd Achil Norrlatep

PANGKALAN HADAPAN: Dennis (tiga kanan) menyerahkan stok makanan kepada salah seorang wakil penerima sambil disaksikan oleh Elizabeth (dua kiri), Gilbert (dua kanan) dan Goh (kanan).


BARAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa proaktif memberikan khidmatnya kepada rakyat dalam segenap aspek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau Jok memberitahu bahawa ia merupakan salah satu tanda kekukuhan yang ada pada kerajaan pemerintah sekarang.

“Bantuan bencana kepada rakyat pun kini diberikan secara stok terlebih dahulu dan boleh disimpan sehingga enam bulan,” katanya dalam majlis pembahagian stok Bantuan Khas Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Long Panai, Tutoh-Apoh semalam.

Turut hadir Ketua Masyarakat Orang Ulu Baram Pemanca Elizabeth Deng dan Penolong Pengarah JKM Bahagian Miri Goh Yong Kiet dan Ketua Kampung Uma Beluvo, Long Panai Gilbert Ding.

Menurutnya, ini adalah salah satu daripada sebahagian besar kesan transformasi kerajaan di bawah tampuk kepimpinan BN.

“Beza kalau dahulu, kita hanya menerima bantuan dua atau tiga hari lewat setelah banjir, tetapi kini stok bantuan makanan telah ada jika berlaku bencana,” jelasnya.

Beliau pada masa sama turut berasa bangga kerana ia juga bukti kerajaan pemerintah tidak pernah mengabaikan penduduk walaupun tinggal di kawasan pedalaman.

Ia juga kata beliau adalah salah satu daripada usaha murni pihak JKM dalam memahami akan masalah persediaan menghadapi bencana khususnya di kawasan seperti itu.

“Saya bangga kerana ada usaha sebegini yang sememangnya diperlukan ketika menghadapi apa-apa bencana seperti banjir yang berlaku di kawasan Baram hampir setiap tahun,” ujar Dennis.

Long Panai merupakan salah satu daripada beberapa pusat strategik menyimpan bahan stok makanan bantuan sekiranya menghadapi bencana seperti banjir.

Bantuan bencana sedemikian atau dikenali sebagai Pangkalan Hadapan merupakan stok bekalan makanan jika sekiranya menghadapi bencana yang boleh disimpan selama enam bulan.

Jika sekiranya tidak berlaku bencana, stok makanan tersebut akan diagihkan ke kampung-kampung atau pihak yang berkelayakan untuk menerimanya terutama kepada golongan orang kurang upaya (OKU), kurang berkemampuan, ibu tunggal dan golongan tidak bernasib baik lain.

Dennis setelah tamat majlis itu semalam, turut ke Long Jegan untuk menyerahkan bekalan makanan sama kepada penduduk di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment