Monday 23 July 2012

BN parti yang berjuang membangunkan rakyat

ENGKILILI: Barisan Nasional (BN) adalah sebuah parti yang membela dan berjuang melaksanakan pembangunan untuk rakyat bukan seperti parti pembangkang yang hanya pandai memfitnah pemimpin-pemimpin BN sahaja.

Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata, parti pembangkang terutama Parti Pekerja Sarawak (SWP) bukan berjuang untuk berusaha meningkatkan taraf ekonomi rakyat tetapi lebih berminat memburukkan peribadi pemimpin BN dengan melemparkan pelbagai fitnah supaya menyokong mereka.

Sehubungan itu Nyalau berpesan kepada pengundi di negeri ini terutama di kawasan Parlimen Lubok Antu agar tidak mudah termakan hasutan mereka ini.

“Sekiranya kita amati pemimpin-pemimpin SWP ini semasa berucap pada ceramah, mereka hanya pandai memburukkan peribadi pemimpin BN untuk meraih undi.

Berbeza dengan pemimpin-pemimpin BN hanya berjuang untuk membela nasib rakyat terutama yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

Nyalau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Mesra Rakyat di Rumah Awing, Merindun, di sini, semalam.

Pada Jumaat lalu bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang dan Naib Presiden SWP Josephine Mawat dan Munan Laja semasa berceramah di pekan Engkilili mencaci dan memburukkan Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri James Masing, Nyalau dan Dr Johnnical Rayong Ngipa.

Perbuatan pemimpin Iban yang berjuang bersama SWP itu tidak disenangi sama sekali rakyat di kawasan Engkilili yang mendengar ceramah mereka itu.

Selain itu beliau juga menasihati rakyat di kawasan Parlimen Lubok Antu agar terus bersama BN bagi memastikan daerah Lubok Antu terus membangun dari pelbagai aspek pembangunan nanti.

“Hanya BN sajalah mampu meningkatkan taraf hidup anda semua, jadi bekerjasamalah dengan BN,” ujarnya.

Dalam majlis itu Nyalau mengumumkan peruntukan RM30,000 kepada JKKK Rumah Awing, Merindun, Lubok Antu dan RM5,000 kepada Biro Wanitanya.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Uban dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.

No comments:

Post a Comment