Wednesday 11 July 2012

SWP disifatkan sebagai parti keluarga

SIBU: Parti Pekerja Sarawak (SWP) disifatkan sebagai sebuah parti keluarga kerana dianggotai oleh ahli-ahli keluarga sendiri.

Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Cawangan Skuau Tungku Balang memberitahu bahawa jawatan presiden parti itu hingga ke bendaharinya termasuk juga ahli Majlis Tertingginya adalah disandang oleh saudara sendiri yang mempunyai pertalian keluarga.

“Penasihat Datuk Sng Chee Hua merupakan ayah kepada Larry Sng (Presiden) manakala George Lagong (Timbalan Presiden) merupakan abang angkat kepada Larry.

“Dickson George (Ahli Majlis Tertinggi) adalah anak kepada George Lagong dan cucu kepada Datuk Sng.

“Dr Ong Lak Sai (Setiausaha Agung) juga merupakan saudara kepada Datuk Sng sementara Jessie Sng adalah anak Sng juga,” ujarnya kepada Utusan Borneo, petang semalam.

Menurutnya, ini jelas menunjukkan parti itu mempunyai kepentingan dan agenda sendiri untuk menentang PRS pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

“Pucuk pimpinan SWP adalah melibatkan keluarganya sendiri dan sudah pasti mereka mempunyai agenda sendiri. Ini jelas apabila SWP seolah-oleh berdendam dengan presiden PRS.

“Tiada apa yang dapat SWP lakukan seandainya dipilih untuk memegang tampuk pemerintahan di sesebuah kawasan Parlimen di negeri ini kerana mereka disifatkan hanya mementingkan misi membalas dendam keluarga mereka terhadap PRS lebih-lebih lagi presiden kami,” tegasnya.

Beliau menggesa kepada SWP agar tidak berkempen pada masa sekarang kerana masih belum tiba musim PRU13.

“Jangan membuang masa terutama turun padang ke konsituensi Parlimen Selangau untuk menghasut rakyat.

“Sekarang bukan masa untuk berkempen. Tujuan SWP ini kerap turun padang ke Selangau adalah seperti ada udang di sebalik batu serta mempunyai muslihatnya tersendiri.

“Saya berharap penduduk di Selangau menolak SWP daripada terus meracuni fikiran rakyat kerana mereka menubuhkan parti semata-mata untuk membalas dendam ke atas musuh politik keluarga mereka sahaja. Ini objektif utama SWP ditubuhkan,” tambah beliau.

sumber: theborneopost

No comments:

Post a Comment