Sunday 1 July 2012

BN bangunkan rakyat

by Kelvin Lambai.

Inilah politik yang diketengahkan kerajaan BN, bukannya politik untuk menghancurkan rakyat 

SRI AMAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa menegaskan bahawa politik yang diketengahkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah politik untuk membangunkan rakyat bukannya politik untuk menghancurkan rakyat.

Menurutnya kerajaan BN sentiasa mengetengahkan polisi pembangunan yang dapat membawa keuntungan kepada semua golongan lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama bukannya polisi untuk menghancurkan rakyat.

“Polisi kita dalam kerajaan BN hanya satu sahaja iaitu untuk membangun serta menyalurkan pembangunan kepada rakyat, malah BN sentiasa mendengar setiap masalah rakyat dan berusaha untuk membantu rakyat menyelesai setiap masalah yang dihadapi oleh mereka.

“Kita dalam kerajaan BN bukan seperti pihak pembangkang yang hanya pandai cakap kosong dan menabur janji mereka di merata-rata tempat, tetapi kita dalam BN sentiasa mengotakan segala janji-janji kita kepada rakyat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat 2012 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Bunya Kancu, Kampung Empadi Undop, Batu Lintang dekat sini kelmarin.

Katanya rakyat harus sedar bahawa mereka (rakyat) masih lagi memerlukan pembangunan seperti jalan raya, bekalan air bersih, elektrik dan sebagainya daripada kerajaan BN.

“Kesemua pembangunan yang rakyat kecapi hari ini adalah pembangunan daripada kerajaan BN bukannya daripada pihak pembangkang.

“Pihak pembangkang hanya mampu menabur janji-janji kosong mereka untuk meraih simpati daripada rakyat terutama pada saat-saat negara kita hendak mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 ini,” jelasnya.

Tambahnya, seperti kita semua ketahui, pihak pembangkang ini hanya timbul menjelang pilihan raya sahaja tetapi bila tidak ada pilihan raya mereka ini akan diam menyepi.

“Sekiranya betul-betul ingin bekerja untuk rakyat kenapa apabila tidak berlakunya pilihan raya mereka ini tidak bekerja untuk rakyat?

“Kerajaan BN harus dijadikan contoh sebagai kerajaan terbaik kerana kerajaan BN sentiasa bekerja untuk rakyat dan bekerja setiap masa,” tegasnya.

Oleh itu katanya, BN sentiasa mengotakan janji mereka dan sentiasa bekerja untuk rakyat dan menjaga kebajikan rakyat.

Terdahulu, majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Muda Perumahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang Datuk Francis Harden Hollis.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Penghulu Michael John Sanggup, Kaunselor Sawing Sumar, ketua-ketua masyarakat setempat serta masyarakat setempat yang lain.

Pada majlis yang sama, Rayong turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM3,000 kepada JKKK Rumah Bunya untuk tujuan menjalankan aktiviti sepanjang tahun mereka.

Dalam pada itu, majlis berkenaan turut diserikan dengan acara memotong kek Hari Gawai, persembahan lagu-lagu karaoke, ‘ngetas ranyai’, ‘ngerebah pokok ranyai’ dan acara ‘ngiling bidai’.

No comments:

Post a Comment