Monday 16 July 2012

SPDP cari penyelesaian terbaik isu Wong-Salang

KUCHING: Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Tan Sri William Mawan kekal tenang mengumpul segala urusan Wong Judat-Joseph Salang untuk parti mencari penyelesaian terbaik bagi menyelesaikan isu terbabit.

Memberitahu pemberita di sini semalam, Mawan berkata telah banyak rundingan dan perbincangan dilakukan berkaitan isu melibatkan ADUN Meluan Wong dan Ahli Parlimen Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Julau Datuk Joseph Salang Gandum.

Difahamkan, Wong yang juga Naib Presiden SPDP telah bertemu Mawan baru-baru ini dan memberikan presiden parti itu tempoh untuk mengambil keputusan sama ada parti menyokong pihaknya atau beliau sendiri akan bertanding menentang Salang, atau sama ada kembali pada keputusan pro-Salang.

Mawan sudah berada pada keadaan yang sukar untuk memilih, dan bakal menyaksikan kemungkinan Wong meletak jawatan daripada parti untuk menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) di mana penggerak utama Datuk Sng Chee Hua telah berikrar untuk memenangi semua kerusi PRS pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mawan tidak dapat menghentikan Wong daripada meletak jawatan untuk bertanding di Julau, walaupun beliau akan mengganggu PRS yang akan mencalonkan Salang untuk mempertahankan kerusinya.

“Kami cuba yang terbaik untuk menenangkan keadaan dan telah mengadakan ceramah yang menyeluruh mengenai perkara ini,” kata Mawan ketika ditemui semasa larian perpaduan 1Malaysia anjuran Pergerakan Pemuda SPDP Mas Gading di Tasik Biru di sini.

Apabila ditanya mengenai apa tindakan yang akan parti ambil sekiranya Wong memilih untuk bertanding di Julau menggunakan tiket SWP, beliau memilih untuk menunggu sehingga terbukti dakwaan sebelum mendedahkan tindakan selanjutnya.

“Kami akan mengendalikan semua perkara berdasarkan kes… kita tunggu dan lihat sehingga tiba masanya,” katanya.

Dalam hal ini, Mawan mempersoalkan banyak kemungkinan yang boleh berlaku pada mesyuarat yang dinanti-nantikan mereka iaitu berkemungkinan esok (Selasa, 17 Julai).

Sehubungan itu, beliau mahu kem lain juga memikirkan akibat yang akan berlaku disebabkan oleh tindakan mereka.

Menyentuh mengenai sokongan akar umbi bagi SPDP Mas Gading, beliau menekankan kepentingan untuk parti terus membuat kehadirannya dirasai di bahagian pilihan raya tersebut.

“Orang boleh bercakap tentang perubahan dalam sokongan, jumlah tertentu anggota SPDP meletak jawatan, beratus-ratus orang baharu menyertai SPDP dan apa-apa, tetapi ini adalah sesuatu yang kita tidak banyak beri tumpuan.

“Apa yang penting ialah untuk Mas Gading menjadi kubu kuat kepada Barisan Nasional (BN)… calon yang datang dan pergi atau personaliti tidak penting kerana akhirnya, kehadiran BN harus dirasai di sini.

“Gabungan itu mesti mengukuhkan kedudukan kami di sini dan kita tidak boleh menyendiri,” katanya.

Mawan juga menegaskan perjuangan politik parti itu di Mas Gading bukan tentang kepentingan peribadi atau kesukaran tetapi ia adalah mengenai rakyat dan kerajaan.

“SPDP di bawah BN, kita disatukan sepenuhnya dan disokong oleh kerajaan dan kita adalah sebahagian daripada struktur yang sama ini.

“Fokus kami ialah pembangkang kerana mereka telah cuba mencerobohi.

“Kami tidak melihat ke dalam perebutan melibatkan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi, kumpulan dan politik kelompok.

“Kami akan berurusan dengan kumpulan itu secara berasingan di satu sudut, “katanya.

No comments:

Post a Comment