KUCHING: Penyelidikan saintifik ke atas dabai mendapati buah itu sangat kaya dengan kandungan antioksida yang berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan.
Ketua Aktiviti Fokus Utama 4 yang juga Pembantu Pengarah (Penyelidikan) Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) Lau Cheng Yuon berkata disebabkan kekayaan kandungan antioksida yang terdapat pada dabai ia berpotensi dijadikan bahan utama dalam pengeluaran produk makanan serta kosmetik.
Hasil penyelidikan yang dibuat oleh JPS dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) katanya mendapati dabai juga mengandungi sumber protein, tenaga dan mineral seperti potassium dan kalsium.
“Dabai sangat kaya dengan kandungan antioksida terutama pada bahagian kulitnya (buah) diikuti seluruh buah merangkumi kulit dan isi serta isirung menjadikannya sangat berpotensi dipasarkan bersama buahbuahan tempatan untuk mempromosikan kempen kesihatan.
“JPS akan bekerjasama dengan pengeluar produk makanan berasaskan dabai seperti mayonis dabai, pes dabai, keropok dabai malahan dijadikan bahan utama membuat sabun,” katanya pada sidang media semalam.
Terdahulu beliau menghadiri majlis pelancaran Bulan Dabai di Hotel Riversides Majestic yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Lau menambah, penyelidikan yang dilakukan sejak enam tahun lalu juga berjaya mencipta teknologi sejuk beku membolehkan buah dabai disimpan selama setahun berbanding hanya beberapa hari sebelum ini. “Kami telah mencipta teknologi sejuk beku bagi membolehkan dabai disimpan selama setahun.
“Seperti kita sedia maklum dabai tidak berbuah sepanjang masa sebaliknya bermusim. Jadi teknologi ini banyak membantu industri,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment