Friday 6 July 2012

Salang: Fahami perlembagaan untuk kekal bersatu

KUALA LUMPUR: Semua kaum di Malaysia perlu memahami kandungan perlembagaan negara untuk membolehkan mereka bersatu, harmoni dan bertolak ansur walaupun berbeza bahasa, budaya dan agama, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang semalam.

Beliau berkata rakyat seharusnya berbangga kerana Malaysia mempunyai perlembagaan lengkap untuk menjadi asas kepada perpaduan dan kemajuan negara.

Katanya, banyak negara yang merdeka daripada penjajahan Barat lebih awal daripada Malaysia, namun ia tidak dapat mengekalkan kestabilan seperti yang dikecapi oleh negara ini.

“Keadaan itu berpunca daripada ketidakadilan dalam pengagihan kuasa dan kekayaan negara yang membawa kepada ketidakadilan sosial, politik dan ekonomi dalam sesebuah negara,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Perlembaga-an Malaysia ‘Di Antara Sejarah dan Tuntutan Semasa’ di sini semalam. — Bernama

Seminar sehari itu dianjurkan Arkib Negara dengan fokus perbincangan menumpu kepada Perlembagaan Malaysia.

Sebanyak enam kertas kerja dibentangkan pada seminar itu termasuk Sejarah Awal Perlembagaan di Tanah Melayu oleh Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Yusoff Hashim dan Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan oleh Anggota Biro Undang-undang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Mahamad Naser Disa.

Salang berkata rakyat juga perlu menghayati semangat gagasan 1Malaysia yang bertujuan menyemai keharmonian selain rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap negara.

“Janganlah ada dalam kalangan kita yang cuba merosakkan keharmonian antara kaum yang telah dicapai kerana keharmonian ini terlalu mahal harganya, dan seandainya keharmonian rosak, kita tidak tahu apakah kita mampu membaikinya kembali,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Salang berkata ahli politik juga perlu memahami kandungan perlembagaan untuk mengelak daripada mengeluarkan kenyataan atau membangkitkan isu yang boleh mewujudkan perasaan tidak puas hati di kalangan rakyat pelbagai kaum. — Bernama

No comments:

Post a Comment