Monday 23 July 2012

BN mesti menangi Parlimen Miri: Chin

MIRI: Wakil daripada Barisan Nasional (BN) harus memenangi kerusi Parlimen Miri agar pembangunan yang dirancang untuk memacu pembangunan bandar raya Miri akan berjalan lancar.

Ahli Parlimennya Datuk Seri Peter Chin khuatir impian membangunkan Miri sebagai bandar raya peranginan utama di utara Sarawak akan terbantut sekiranya kerusi Miri jatuh ke tangan parti lawan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurutnya, kekalahan SUPP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Pujut pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri lalu telah memberi impak dan merubah tahap pelaksanaan projek-projek pembangunan di sini.

“Kami menerima kekalahan di Pujut dan Piasau semasa pilihan raya negeri yang lalu tetapi bukan untuk kerusi Parlimen Miri,” tegasnya kepada media selepas sesi bertemu rakyat di pejabat Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) petang kelmarin.

Menurut Chin, wakil BN dari Miri penting untuk membolehkan Miri memperolehi peruntukan daripada kerajaan pusat untuk projek-projek infrastruktur berkos tinggi.

Beliau percaya, penduduk khasnya pengundi di sini peka dengan perkara itu kerana mereka telah menikmati banyak pembangunan yang dirancang oleh kerajaan BN selama ini.

“Kita tidak boleh kehilangan kerusi Miri. Pilihan raya kali ini yang akan diadakan pada bila-bila masa adalah cabaran terbesar untuk BN khasnya pasukan BN Miri,” jelasnya.

Chin yang juga merupakan Presiden SUPP meminta pasukan BN Miri fokus dan bersedia mempertahankan kerusi Parlimen Miri.

Menurutnya, kekalahan di dua kerusi itu harus dijadikan pengajaran untuk penduduk Miri agar tidak mudah terpengaruh dengan propaganda parti lawan ketika kempen pilihan raya.

“Biarlah ia menjadi pengajaran untuk kita agar lebih bekerja keras dan mengingatkan kita agar berkhidmat sebaiknya untuk rakyat,” ujarnya sambil menambah ia turut melibatkan kerjasama erat antara parti komponen BN.

Semangat perpaduan dan kerjasama dalam BN akan menambah keyakinan rakyat terhadap kepimpinan parti dan keupayaan parti memimpin rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment