Tuesday 3 July 2012

Pilihan raya selepas lima tahun perlu kajian, kata Wan Junaidi

by Rusnan Mustafa.


KUCHING: Kajian menyeluruh harus dilakukan sekiranya cadangan pilihan raya diadakan lima tahun selepas mandat kerajaan memerintah berakhir.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar kanan) berkata, ia memerlukan persetujuan semua pihak kerana melibatkan kuasa dan keistimewaan Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-raja.

“Perkara ini tidak boleh diputuskan dengan sewenang-wenangnya, kalaulah kerajaan menggubal perlembagaan, kerajaan juga perlu mengambil kuasa pemimpin negeri-negeri berhubung hak pembubaran dewan ini.

“Tidakkah itu perlu perbincangan menyeluruh dan melibatkan semua negeri, tidak kira siapa memerintah,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan sekiranya pilihan raya diadakan genap lima tahun selepas mandat kerajaan memerintah berakhir. Pada masa yang sama Wan Junaidi turut mempersoalkan sama ada kerajaan pusat hanya mengambil kuasa Perdana Menteri (PM) dan membiarkan pemimpin utama negeri masih memegang kuasa budi bicara mengenai perkara tersebut.

“Kalau itu berlaku dua sistem diperkenalkan dalam negara. Apa justifikasinya? Ternyata ia akan mengubah landskap politik negara.

“Jika kerajaan meminda perlembagaan dan menggubal udang-undang untuk mengambil kuasa PM seperti tersebut pasti ia akan mengubah landskap politik negara,” tegasnya.

Selain itu jelasnya, memindahkan kuasa budi bicara daripada PM memerlukan pindaan perlembagaan dan kerajaan perlu mengundi dua pertiga jumlah ahli Dewan Rakyat.

Tambahnya, walaupun salah satu cadangan itu merupakan permintaan Bersih 2.0, agar pilihan raya diadakan hingga habis penggal di mana Dewan Rakyat terbubar secara automatik dan kemudiannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil alih supaya mengadakan pilihan raya dalam masa 60 hari daripada hari pembubaran berlaku, namun cadangan itu tidak dapat diterima untuk mewakili keseluruhan atau majoriti rakyat Malaysia.

“Selain itu, kerjasama pembangkang perlu di Dewan Rakyat, kalau tidak rang undang-undang tidak dapat diluluskan…lagipun tujuan untuk meminda perlembagaan yang mengubah struktur perlembagaan juga amat baik dirujuk kepada (pandangan) rakyat,” tambahnya.

Wan Junaidi turut memberitahu, jika PM membuat keputusan untuk mengadakan PRU13 selepas genap lima tahun pada kali ini ia adalah dalam bidang kuasanya dan tidak memberi apa-apa kesan asalkan perlembagaan dan undang-undang tidak digubal.

Jelasnya lagi, ini kerana perlembagaan dan undang-undang negara masih kekal memberi kuasa mengikut budi bicara PM untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Dewan Rakyat.

“Namun jika PM sengaja hendak membubarkan Dewan Rakyat pada saat akhir penggal ke-12 dengan tidak meminda perlembagaan ini beliau boleh, maka SPR boleh mengadakan PRU13 dalam masa 60 hari selepas itu sebagai eksperimen walaupun kurang sihat kerana masa depan negara dan rakyat tidak boleh dieksperimen.

“Saya yakin PM tidak akan berbuat demikian kerana beliau hanya menggunakan budi bicara di bawah perlembagaan menilai dan mempertimbangkan keadaan seperti biasa mengikut perlembagaan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment