Monday 23 July 2012

Judat umum keluar SPDP, sertai SWP

KANOWIT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Wong Judat akhirnya secara terbuka memberitahu beliau akan meletak jawatan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) secara rasmi pada 31 Julai ini bagi membolehkannya menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Bercakap kepada media selepas majlis Pentas Rakyat anjuran SWP di pekan Kanowit malam Sabtu lepas, Judat memberitahu bahawa beliau akan tetap dengan keputusannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang menentang penyandang daripada Barisan Nasional (BN).

“Pada 30 Julai ini nanti, saya akan bertemu dengan Presiden (SPDP) Tan Sri William Mawan dan Timbalannya Datuk Seri Tiong King Sing di Kuala Lumpur untuk membincangkan keputusan saya ini dengan mereka.

“Saya akan meletak jawatan daripada parti pada keesokan harinya. Hasil mesyuarat nanti tidak akan menjejaskan keputusan saya. Tiada apa pun yang boleh mengubah pendirian saya dan tiada siapa boleh menghalangnya.

“Saya akan bertanding di Julau di bawah tiket SWP jika (Datuk Jospeh) Salang dicalonkan semula mempertahankan kerusi itu.

“Saya hanya mahu menunaikan hasrat rakyat di sana. Mereka mahu anak tempatan di situ mewakili mereka… penduduk tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi mereka serta yang akan membawa projek-projek pembangunan untuk mereka,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau mungkin akan menyesali keputusan dan kemungkinan kehilangan semua manfaat dinikmati selama menjadi wakil rakyat BN, beliau berkata: “Manfaat apa? Kepada Saya? Saya tidak melakukan perkara ini untuk kepentingan peribadi.

“Saya sudah 48 tahun, bukan budak hingusan, 17 tahun. Saya sudah matang, jadi tiada apa sangat yang hendak dikesali.”

Judat memberitahu keputusannya itu tidak bermakna beliau menentang SPDP atau parti komponen BN yang lain. “Saya dan SWP menyokong penuh pucuk kepimpinan negeri dan negara. Kami (SWP) mesra BN dan sebaliknya.

Kami hanya menentang PRS,” tegasnya.

Judat menjadi ADUN Meluan selama tiga penggal bermula dengan kemenangannya sebagai calon bebas pada 2011 sebelum menyertai SPDP pada 2003.

Beliau menyandang jawatan Naib Presiden SPDP.

Sementara itu Presiden SWP Larry Sng yang turut bercakap kepada media pada majlis sama berkata, beliau mengalu-alukan keputusan Judat itu sambil menambah, parti baharu itu tidak lama lagi dianggotai dua wakil dipilih rakyat selepas ADUN Pelagus George Lagong.

“Siapa yang mahu menjadi kawan kepada kami, kami mengalu-alukan mereka,” katanya.

Sng menambah, parti itu memperkenalkan manifesto untuk PRU nanti dan mengenai calon beliau memberitahu parti hanya akan meletakkan calon boleh menang.

No comments:

Post a Comment