Tuesday 17 July 2012

SWP amat pandai membohongi rakyat: Nyalau

ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak mendakwa Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang dipimpin Larry Sng amat pandai membohongi rakyat di negeri ini dengan menyatakan bahawa partinya mesra Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, hanya empat parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP).

Sehubungan itu pemimpin tertinggi SWP yang menyatakan parti itu adalah parti mesra BN adalah tidak benar sekali.

Beliau berkata, hanya sebuah parti daripada kalangan empat komponen BN itu yang memakai lambang dacing dalam sebuah kawasan Parlimen Pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti se-perti mana yang telah ditetapkan oleh pemimpin tertinggi BN peringkat pusat mahupun negeri selama ini.

“Jadi sekiranya awal-awal lagi SWP sudah pandai membohongi rakyat, adalah tidak hairan pada masa akan datang mungkin lebih banyak perkara yang mereka berani bohong kepada anda semua.

“Ini berikutan tidak pernah berlaku dua lambang dacing berlawanan sesama sendiri dalam sebuah kawasan pilihan raya umpamanya di P203 Lubok Antu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Hari Keluarga Skim Skrang, di Balai Raya Skim Skrang, Engkilili, baru-baru ini.

Pada malam yang sama kira-kira 500 meter dari majlis yang dihadiri Nyalau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, SWP turut mengadakan Majlis Bertemu Rakyat di Rumah Muntai, Skim Skrang.

Bagaimanapun Larry berrsama bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang meninggalkan majlis itu lebih awal kerana kurang mendapat sambutan rakyat di kawasan itu meskipun mereka mengundang penyanyi terbilang Iban.

Sementara itu beliau mengingatkan rakyat di Lubok Antu terutama tuai-tuai rumah agar jangan cuba berjinak-jinak dengan SWP kerana ia bukan sahaja sebuah parti keluarga Datuk Sng Chee Hua tetapi ia juga parti balas dendam Sng kepada PRS apabila anaknya Larry tidak dicalonkan semula bertanding di DUN Pelagus April lalu.

“Saya mengingatkan kepada anda semua agar jangan cuba menghampiri SWP kerana ia sebuah parti yang tidak mampu membela nasib rakyat di sini kerana perjuangan SWP untuk kepentingan peribadi keluarga Sng sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama SWP akan mengadakan ceramah politik mereka di Rumah Nading Brayun, Sebangki Pandak, Lubok Antu pada 22 Julai ini.

1 comment:

  1. roland engang anak nading20 July 2012 at 04:20

    nanti saya bagitahu saya punya ayah..Nading Brayun utk tdak sokong SWP..

    ReplyDelete