ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak menasihati kaum Iban yang tinggal di kawasan pedalaman agar jangan mudah dipermainkan oleh pihak tertentu yang ingin mendapat keuntungan politik mereka sendiri.
Beliau berkata, pihak yang kurang bertanggungjawab ini yang kini sedang sibuk berkempen di rumah panjang terutama di hulu-hulu sungai dengan mengambil kesempatan menggunakan kelemahan orang lain untuk tujuan politik jahat mereka itu, adalah amat dikesali. Menurutnya, adalah lebih baik semua masyarakat Iban terus bersatu padu di bawah payung Barisan Nasional (BN) memandangkan ia parti yang memperjuangkan kebajikan hidup semua kaum selama ini.
“Jangan mudah mengikut telunjuk parti pembangkang sebaliknya bersatu menentang mereka supaya kita semua tidak mudah diperbodohkan oleh orang lain,” katanya.
Nyalau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis merarau atau makan tengah hari yang berlangsung di dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Menyebat, Ulu Lemanak, Engkilili, di sini, semalam.
Selain itu beliau juga mahu masyarakat kaum Iban di kawasan pilihan raya Lubok Antu agar terus bersama BN demi menikmati arus pembangunan yang lebih cerah pada masa akan datang.
“Jangan memilih pihak pembangkang yang hanya gemar mencaci dan mempersoalkan projek pembangunan kerajaan BN secara negatif kerana ia tidak akan memberi keuntungan apa-apa kepada masyarakat.
Beliau turut menasihati para tuai rumah agar tidak menerima kehadiran parti pembangkang seperti Parti Pekerja Sarawak (SWP) ke rumah panjang kerana kedatangan mereka hanya untuk memecah belahkan mereka sempena pilihan raya akan datang.
sumber: borneopost
No comments:
Post a Comment