Tuesday 10 July 2012

Penduduk Bario dapat jalan

by Watt Zacchaeus.


SIBU: Penduduk di Bario akan dapat berhubung dengan dunia luar setelah projek Jalan Ba’Kelalan-Bario sepanjang 45 kilometer siap dalam dua hingga tiga tahun lagi.

Panglima Infrantri 9 Briged Brigedier Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, projek pembinaan jalan itu adalah antara projek di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan kerja-kerja pembinaannya baharu sahaja bermula.

Beliau juga memberitahu bahawa hampir semua projek di bawah kawasan 9 Briged dari Sarikei hingga ke daerah Lawas telah pun siap.

“Setakat ini, salah satu projek utama di bawah NBOS ialah pembinaan jalan raya. Bahagian jalan dari Long Luping ke Ba’Kelalan telah pun siap.

“Kerja-kerja pembinaan baharu sahaja bermula pada bahagian seterusnya iaitu kira-kira 45km dari Ba ‘Kelalan ke Bario.

“Apabila jalan ini siap kelak, kita mampu meneruskan perjalanan dari Lawas ke Ba’Kelalan dan terus ke Bario.

“Ini akan mengurangkan masa perjalanan ke Bario kerana ia akan dihubungkan dengan jalan raya pada masa akan datang,” ujarnya kepada pemberita, malam kelmarin.

Ditemui selepas merasmikan Malam Kebudayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Pesta Kebudayaan Dayak Borneo (BDCF), beliau bagaimanapun berkata pembinaan projek jalan terbabit agak sukar kerana menghadapi beberapa masalah tertentu yang berkaitan dengan muka bumi.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BDCF 2012 merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Kaunselor Tengku Gruna, Ketua Staf Markas 9 Briged Leftenan Kolonel Kamarudzaman Mohd Thani, Pengerusi Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Sibu Alice Jawan, Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Cawangan Rajang Mejar Moses Ripai serta para jemputan lain.

“Ia akan menjadi tugas yang sangat sukar kerana kami berhadapan dengan rupa bumi berceranggah, ketinggian dan cuaca.

“Kami juga perlu membina jambatan sementara di sepanjang jalan sebelum mampu menyiapkan keseluruhan projek,” katanya.

Menurutnya, para anggotanya juga dijangka akan membina jambatan sementara untuk melalui Pa Dalih dan Dappur Pa pada tahun ini.

“Saya fikir ini adalah berita baik untuk rakyat Bario.” ujarnya.

Satu lagi projek NBOS yang mereka laksanakan ialah projek Jalan Menjawa-Belaga, yang kini siap antara 60 dan 70 peratus.

ATM juga jelasnya turut terlibat dalam pembinaan Jalan Miri-Marudi yang memerlukan pembinaan dua jambatan dan semua enam projek yang membabitkan pembinaan jalan raya yang telah dilaksanakan sebelum ini telah pun siap.

Jelasnya, ia merupakan tiga projek yang membabitkan pembinaan jalan raya yang masih dijalankan oleh pihaknya.

Stephen turut memberitahu bahawa mereka (9 Briged) telah menyempurnakan sebanyak 48 projek bekalan air luar bandar.

“Ini termasuk pembinaan rumah baharu dan membaik pulih rumah-rumah penduduk luar bandar yang memerlukan.

“Setakat ini kawasan naungan 9 Briged tidak kami abaikan dan saya berfikir bahawa kami telah hampir melaksanakan amanah yang telah kerajaan berikan.” tegasnya sambil menjangkakan akan diberikan beberapa projek baharu untuk dilaksanakan.

Ditanya apakah projek-projek tersebut, beliau lantas menjawab: “Kita tidak tahu lagi tetapi saya fikir kami akan terus dengan projek-projek bekalan air luar bandar, penyambungan jalan dan membaik pulih dan membina rumah.”

Beliau turut menggambarkan keadaan ini mungkin membolehkan projek di bawah NBOS akan dibawa untuk menghubungkan Kapit dan Song dari Kanowit dalam pembinaan projek jalan raya dan begitu juga dengan Belaga.

Bagaimanapun, ujarnya, Infrantri 9 Briged masih menunggu ‘lampu hijau’ untuk melaksanakan projek jalan terbabit daripada pihak berkaitan.

No comments:

Post a Comment