Monday 23 July 2012

PKR Sarawak akur ketentuan takdir

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak akur dengan takdir berikutan kematian seorang daripada Naib Pengerusinya, Peter Ato Mayau, yang sebelum ini dikatakan calon berpotensi untuk bertanding di kawasan Parlimen Mambong.

Peter, 53, yang juga merupakan jurutera disahkan terkorban dalam nahas helikopter milik Sebiro Holdings di Sungai Triso, Sri Aman, ketika dalam perjalanan ke Nanga Merit, Kapit atas tuntutan tugas.

Dia pernah bertanding atas tiket PKR namun tewas pada Pilihan Raya Negeri 2011 dalam perlawanan tiga penjuru menentang Roland Sagah daripada Barisan Nasional (BN) dan Ateng Jeros (SNAP) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat.

Mengulas kehilangan seorang pemimpin dan rakan dalam parti, See Chee How yang juga seorang daripada Naib Pengerusi parti tersebut berkata, selagi Peter belum disahkan terkorban, mereka terus berharap agar keajaiban berlaku.

“Kita tidak akan berhenti berharap Peter akan terselamat dan juga tidak mahu membuat sebarang andaian (jika ia sebaliknya),” katanya pada sidang media beberapa jam sebelum mayat Peter dijumpai pada kira-kira jam 2 petang semalam.

See yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang turut mengesahkan Peter merupakan calon PKR Sarawak berpotensi untuk bertanding di kerusi Mambong pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Mendiang disifatkannya sebagai seorang yang mempunyai sentuhan peribadi istimewa dan sangat rajin. Beliau mula turun padang di kawasan itu sejak Oktober tahun lalu.

Tambahnya lagi, bapa kepada tiga orang anak itu merupakan seorang yang tahan lasak dan mempunyai tahap kesihatan yang baik dan mereka berdua sering ke kawasan pedalaman Mambong, termasuk mendaki Bengoh.

“Beliau merupakan orang yang disenangi dan disukai ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment