Monday 2 July 2012

Kenyataan SWP salah, mengelirukan: Masir

SRI AMAN: Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat sekali menegaskan bahawa hasrat Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang menyatakan mereka adalah rakan karib Barisan Nasional (BN) adalah kenyataan yang salah dan mengelirukan rakyat.

Menurutnya, sekiranya SWP rakan karib BN, mengapa parti ini mengatakan hasrat mereka mahu bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) nanti dan menentang BN terutama kerusi-kerusi Parti Rakyat Sarawak (PRS).

“Seandainya mereka menyokong BN mengapa mereka harus bertanding dan menyatakan hasrat untuk meletakkan calon-calon mereka menentang calon Parti Rakyat Sarawak?

“Sedangkan PRS adalah salah satu daripada parti komponen BN dan kenyataan mereka sebelum ini sebagai rakan karib BN dan menyokong BN amat mengelirukan rakyat dan mereka cuba untuk menipu rakyat dengan janji-janji kosong mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman di Rumah Bunya Kancu, Kampung Empadi Undop, Batu Lintang dekat sini kelmarin.

Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simangggang Datuk Francis Harden Hollis.

Katanya SWP sememangnya anti-BN dan PRS, hasrat untuk menumbangkan semua calon PRS pada PRU13 nanti adalah objektif utama mereka.

“Memang telah kita ketahui bahawa SWP ini akan meletakkan semua calon mereka di semua kerusi PRS pada PRU13 nanti dan ini membuktikan bahawa mereka bukan rakan karib BN malah mereka sudah menjadi ‘musuh BN’ dan kita akan menentang mereka ini berhabisan selepas ini.

“Dalam hal ini, kita tidak menghalang sesiapa sahaja yang ingin bertanding di mana-mana kerusi milik BN kerana negara kita adalah negara demokrasi tetapi dalam berpolitik kita tidak harus memfitnah sesama sendiri dan jangan sesekali memburuk-burukkan sesama sendiri,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat terutama di kawasan luar bandar agar tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji SWP yang mula bergerak ke rumah-rumah panjang.

“Kita berharap rakyat kita tidak mudah termakan hasutan golongan ini yang cuba menjatuhkan wakil rakyat sedia ada sedangkan mereka (SWP) hanya menabur janji-janji kosong untuk mengelirukan pemikiran rakyat.

“Tetapi kita percaya bahawa rakyat kita sudah sedar bahawa BN sentiasa mengotakan janji selama ini, janji-janji dan pembangunan dari BN sudah banyak dilaksanakan diseluruh kawasan di negeri ini termasuk pembangunan jalan raya, air, elektrik dan sebagainya,” jelasnya.

Justeru katanya, rakyat seharusnya bersatu hati dan meneruskan sokongan terhadap kerajaan yang sedia ada demi memacu pembangunan yang lebih banyak ke negeri ini,” kata Masir.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa, Pegawai KEMAS Daerah Sri Aman Hairani Solo, Penghulu Michael John Sanggup dan Kaunselor Sawing Sumar.

Pada majlis yang sama, Masir turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM6,000 kepada penduduk rumah panjang berkenaan bagi tujuan pembelian benih pokok sawit dan pokok getah.

No comments:

Post a Comment