Monday 30 July 2012

Polis bimbang ancaman eksploitasi oleh ekstremis politik dalam PRU13

KUCHING: Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menjadi kebimbangan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan negara terkawal daripada tindakan eksploitasi oleh pihak ekstremis politik.

Hakikatnya, menurut Ketua Penolong Pengarah E2, Cawangan Khas, Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman SAC Datuk Mohd Sofian Md. Makinuddin, kini terdapat pihak yang menjadikan masjid sebagai platform untuk menghasut bagi menghadapi PRU yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan agama, jika tidak dijaga dan dikawal daripada eksploitasi oleh pihak ekstremis sosial, agama dan politik, ia mungkin akan memudaratkan keselamatan negara.

“Tapi, setakat ini keadaan masih lagi di tahap terkawal. Cuma kita risau ialah untuk menghadapi PRU13 ini, jika pihak politik menggunakan eksploitasi isu-isu yang boleh memudaratkan keadaan,” katanya.

Sofian ditemui selepas menyampaikan ceramah ‘Menangani Isu Keselamatan Dalam Program Transformasi Kerajaan’ sempena Forum Program Transformasi dan Keselamatan anjuran Persatuan Graduan Dayak Sarawak (SDGA) di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap agar rakyat, apabila membaca maklumat daripada media sosial atau sebagainya supaya menilai ketepatannya terlebih dahulu dan tidak mengambil tindakan melulu.

“Kita telah mendapati masjid dijadikan sebagai platform politik untuk menghasut bagi menghadapi PRU13. Ini perlu dihentikan supaya masyarakat tidak keliru.

“Untuk rakyat, apabila tiba masa mengundi, pilihlah mana satu yang anda fikir dapat memberi keamanan, kestabilan politik dan kemakmuran.

“Pilih mana satu parti yang boleh memberi ini… rakyat sudah matang dan saya rasa mereka boleh buat pilihan yang tepat,” katanya.

sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment