ENGKILILI: Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak memberitahu bahawa Parti Pekerja Sarawak (SWP) adalah bukan parti mesra Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan nasib Dayak luar bandar seperti mana dakwaan para pemimpin tertingginya sebelum ini.
Sebaliknya SWP adalah parti balas dendam keluarga Datuk Sng Chee Hua kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) apabila anaknya Larry Sng tidak dicalonkan semula bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) April tahun lalu.
“Hasrat SWP untuk bertanding di enam kerusi Parlimen milik PRS di negeri ini adalah mudah difahami kerana balas dendam apabila anaknya Larry tidak bertanding mempertahankan kerusi DUN Pelagus.
Cakap politik yang mengatakan SWP parti mesra BN dan memperjuangkan nasib Dayak luar bandar semata-mata untuk mengelirukan fikiran rakyat dengan harapan anda (rakyat) akan memberi sokongan kepada parti mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Hari Keluarga Sekolah Kebangsaan Sedarat, Engkilili di sini, semalam.
Menyentuh mengenai ceramah bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang di beberapa rumah panjang setelah bersama SWP yang mempersoalkan tidak ada pembangunan berlaku di Lubok Antu, tindakan Jawah itu diibaratkan Nyalau sebagai menggigit apabila sudah tiada gigi.
Saudara Jawah lima penggal menjadi wakil rakyat BN di Lubok Antu kenapa sepanjang lebih dua puluh tahun itu dia (Jawah) tidak berusaha membangunkan Lubok Antu? soal Nyalau.
Sepatutnya pada waktu itu Jawah bercakap mengenai kerja membangunkan kawasan Lubok Antu tetapi kini sudah di luar BN apa dia boleh lakukan.
“Sepatutnya dia (Jawah) membantu saya membela nasib rakyat di sini bukannya memesongkan fikiran rakyat di sini,” katanya.
Dalam majlis itu Nyalau berjanji akan membina pondok sukan untuk SK Sedarat.
Turut hadir dalam majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, kakitangan kerajaan dan ketua-ketua masyarakat sekitar Engkilili.
No comments:
Post a Comment