by Reno Benjamin.
Pengundi Bumiputera mungkin jadi penentu dalam usaha BN menangi Parlimen Sibu pada PRU13
SIBU: Pengundi Bumiputera mungkin menjadi penentu dalam usaha Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Gramong Juna berkata, sokongan pengundi Bumiputera dilihat dapat membantu BN merampas kerusi terbabit daripada pihak pembangkang.
“Jika kita semua (pengundi) memberi sokongan penuh, usaha merampas kerusi Parlimen Sibu ini dilihat amat cerah.
“Namun jika sebaliknya, jalan kemenangan itu nampak sukar,” ujarnya ketika berucap pada majlis Gawai Pelancongan di Bawang Assan, baru-baru ini.
Gramong yang juga Menteri Muda Pelancongan memberitahu, Temenggung Vincent Lau telah disebut-sebut sebagai calon BN bagi bertanding di kerusi Parlimen Sibu pada PRU13 nanti.
Sehubungan itu, beliau berharap semua ahli parti tanpa mengira parti komponen BN termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) agar memberi sokongan padu kepada jentera BN di Parlimen Sibu dan kepada Lau.
“Berikan sokongan padu kepada beliau (Lau) agar kerusi Parlimen Sibu dapat kita menang kembali.
“Diharap juga pengundi memberi sokongan kepada BN untuk pembangunan yang berterusan.
“Jika menang, beliau bolah menyuarakan masalah dan membantu semua penduduk. Oleh itu, bantulah beliau untuk memenangi kerusi Parlimen Sibu,” jelas Gramong.
Pada pilihan raya kecil Parlimen Sibu pada 2010, kerusi tersebut telah dimenangi oleh Richard Wong Ho Leng daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), yang menewaskan calon BN Robert Lau Hui Yew.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Robert Lau Hoi Chew.
No comments:
Post a Comment