Monday, 30 July 2012

SUPP dicabar buat pendirian berhubung indeks rasuah

KUCHING: Setiausaha DAP Negeri Chong Chieng Jen mencabar SUPP tampil membuat pendirian mereka berhubung indeks persepsi rasuah antarabangsa kerajaan Malaysia yang jatuh kepada kedudukan 60 pada 2011 berbanding 37 pada 2003.

Beliau memberikan tempoh tiga hari kepada tiga calon berpotensi SUPP, Kaunselor Tan Kai, Pengerusi MPP Lo Khere Chiang dan Wilfred Yap untuk menjelaskan sama ada pemimpin Barisan Nasional (BN) menyumbang kepada kejatuhan itu.

“Apa pendapat SUPP terhadap perkara ini? Kedudukan Malaysia terus jatuh dan jelaskan sama ada pemimpin BN menyumbang kepada perkembangan tidak sihat ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat DAP di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Bandar Kuching itu turut mencabar tiga pemimpin SUPP berkenaan berhubung isu pemberian kontrak baik pulih bangunan dan jambatan yang dimonopoli oleh syarikat milik pemimpin dan keluarga BN.

Katanya, 6,000 ekar tanah kerajaan diberikan kepada syarikat milik pemimpin BN pada harga yang murah dan apa pendirian SUPP atas perkara itu.

Chong pada sidang media tersebut turut mencabar SUPP tampil membuat pendirian mereka berhubung pelaksanaan undang-undang hudud di Malaysia oleh kerajaan PAS.

Beliau yang menegaskan pendirian tetap DAP menentang pelaksanaan undang-undang tersebut berkata, SUPP dan pemimpin BN belum membuat sebarang pendirian berhubung hasrat PAS itu.

“Saya rasa SUPP tidak jelas mengenai undang-undang ini dan Presiden DAP Lim Guan Eng pada ceramahnya di hadapan kira-kira 10,000 penyokong PAS secara terang menentang pelaksanaan undang-undang ini.

“Jika SUPP ambil berat mengenai undang-undang ini mereka seharusnya meminta PBB dan UMNO tampil dengan pendirian tetap mereka mengenai undang-undang hudud.

“Namun sehingga kini, mereka (BN) tidak membuat sebarang pendirian dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri terus membisu daripada sebarang kenyataan,” ujarnya.

Chong mencabar mana-mana antara tiga calon berpotensi berkenaan atau ketiga-tiganya sekali tampil dengan pendirian mereka dalam tempoh tiga hari mulai Isnin ini (hari ini).




sumber:borneopost

No comments:

Post a Comment