Tuesday, 24 July 2012

Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan pemimpin Iban bersama SWP



BERSATU BERSAMA BN: Dr Rayong (dua kiri) bersama Nyalau (tengah) dan Dr Richard (tiga kanan) bersama rakyat di Rumah Awing, Merindun, Engkilili semalam.


ENGKILILI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa menyeru rakyat di kawasan pedalaman terutama kaum Iban agar jangan mudah terpengaruh dengan hasutan pemimpin Iban yang bersama Parti Pekerja Sarawak (SWP) menentang kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya rakyat terutama di kawasan pedalaman tidak harus mudah terpengaruh dengan hasutan pemimpin Iban yang dipergunakan oleh SWP untuk memecahkan perpaduan kaum Dayak khususnya kaum Iban yang sudah lama terjalin.

“Golongan ini menyebarkan fitnah dan menghasut anda supaya membenci BN dengan harapan agar mereka mampu memperoleh sokongan padu pada Pilihan Raya Umum nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pemimpin Mesra Rakyat di Rumah Awing, Merindun, Engkilili, semalam.

Dianggarkan 2,000 orang hadir pada majlis yang dirasmikan Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak itu.

Pada Jumaat lalu bekas Ahli Parlimen Lubok Antu Jawah Gerang dan Naib Presiden SWP Josphine Mawat dan Munan Laja semasa berceramah di pekan Engkilili mencaci dan memburukkan Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri James Masing, Nyalau dan Dr Rayong.

Perbuatan pemimpin Iban yang berjuang bersama SWP itu tidak disenangi sama sekali rakyat di kawasan Engkilili yang mendengar ceramah mereka itu.

Sementara itu kata Dr Rayong, tindakan rakyat bersekongkol dengan parti pembangkang menentang kerajaan BN adalah amat merugikan kerana parti pembangkang tidak berupaya menyalurkan pembangunan buat rakyat terutama di luar bandar.

“Anda harus mengambil kira sumbangan kerajaan dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan dan peningkatan taraf hidup di sekitar Parlimen Lubok Antu selama ini,” jelas beliau.

Dalam majlis itu Dr Rayong mengumumkan peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada JKKK Rumah Awing, Merindun dan RM5,000 kepada Biro Wanita-nya.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Politik Ketua Menteri Dr Richard Uban dan ketua-ketua masyarakat sekitar Lubok Antu.

No comments:

Post a Comment