KOTA SAMARAHAN: Rakyat diingatkan agar terus berhati-hati dengan permainan tipu helah pihak pembangkang untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini.
Perkara itu ditegaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud yang memberitahu bahawa pakatan pembangkang sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai cita-cita mereka tanpa menghiraukan kepentingan rakyat.
Malah, beliau menyifatkan perbuatan pembangkang itu adalah satu permainan politik kotor yang boleh menjejaskan perpaduan dan kedaulatan negara.
“Pihak pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi pilihan raya dan mereka kini sudah terdesak dengan menggunakan helah iaitu menanam rasa benci kepada kerajaan demi menjayakan matlamat politik mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Cek Projek (OG) dan Bantuan Khas Parlimen Kota Samarahan di Kampung Lubuk Ria di sini kelmarin.
Mohammad Ali menambah, ia berdasarkan pengalaman pilihan raya sebelum ini yang mana pembangkang bersikap biadap, menggunakan taktik di luar jangkaan, menakut-nakutkan pengundi dan melagakan rakyat agar mereka berselisih faham.
“Justeru, saya berharap rakyat yang telah dipertanggungjawabkan sebagai pengundi harus bijak memilih kerana pilihan raya adalah perkara pokok yang berkaitan dengan masa depan anak masing-masing dan juga negara,” tegasnya.
Selain itu, beliau meminta generasi muda pada masa kini memahami perjuangan ‘orang lama’ bukannya melihat pembangunan dan keamanan yang dikecapi sekarang ini dapat dicapai dengan mudah.
“Disebabkan keselesaan hidup pada masa kini menjadikan generasi muda leka dan tidak menghargai perjuangan orang terdahulu demi mencapai apa yang dinikmati sekarang ini.
“Generasi muda terutamanya mereka yang dalam lingkungan usia 30 tahun ke bawah mesti tahu menghargai perjuangan yang telah dilakukan kerajaan selama ini, fahamilah betapa payahnya kerajaan menjalankan pembangunan demi kesenangan rakyat,” jelasnya.
Beliau memberitahu, ia sudah menjadi tugas generasi muda untuk terus mengekallkan suasana yang aman dan harmoni bagi memastikan pelaksanaan pembangunan untuk rakyat dapat dijalankan dengan jayanya.
Pada majlis itu seramai 14 kampung dalam Parlimen Kota Samarahan menerima cek untuk pelaksanaan projek dan 335 orang menerima bantuan khas berjumlah RM500 seorang dengan jumlah keseluruhan RM 399,000.
Hadir sama Temenggung Chek Bujang, Pemanca Hani Ahmad Johari, Ketua Kaum Kampung Lubuk Ria Borhan Mail dan tetamu kehormat lain.
sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment