ENGKILILI: Penyandang Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak berkata janji pemberian insurans kepada ahli-ahli Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang ditimpa kemalangan atau meninggal dunia adalah gula-gula politik untuk meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.
Katanya, ini menggambarkan SWP sebuah parti yang hanya gemar memperbodoh rakyat, terutama kaum Dayak (Iban) yang tinggal di luar bandar.
Menurut Nyalau, setahunya tidak ada satu pun parti di dunia ini memberi insurans kepada ahli-ahlinya yang ditimpa kemalangan, hanya SWP sahaja yang berbuat demikian.
“Di negara kita, UMNO, MCA, MIC mahupun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) sebagai parti-parti yang besar tidak memberi insurans kepada setiap ahlinya sekiranya ditimpa kemalangan mahupun meningal dunia.
“Namun, di Lubok Antu ini hanya beberapa ahlinya yang meninggal dunia yang diberi RM2,500 dan ambil gambar kemudiannya keluar dalam akhbar untuk publisiti murahan,” katanya pada majlis Pemimpin Mesra Rakyat di Rumah Assan, Langkong, Tisak, Skarang di sini kelmarin.
Ramai juga yang tidak diberi bayaran insurans bagi ahli-ahlinya meninggal dunia dengan memberi pelbagai alasan kepada ahli yang membuat aduan kepada SWP.
“Oleh sebab itu, saya nasihatkan kepada anda agar semua jangan sekali terpengaruh dengan janji manis SWP dan insurans yang diuar-uarkan itu hanyalah sebagai gula-gula politik sahaja,” katanya.
Justeru, Nyalau mengingatkan kaum Iban yang tinggal di rumah panjang agar terus menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan anak kelahiran Lubok Antu.
“Dalam Pilihan Raya Umum kali ini kita semua berhadapan dengan lawan yang bukan anak kelahiran Lubok Antu yang cuba memperbodohkan kita semua.
“Jadi jangan sekali-kali serahkan kerusi Parlimen Lubok Antu yang turun-temurun diwakili anak jati bangsa Iban sendiri kepada orang luar Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum kali ini,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili Dr Johnnical Rayong Ngipa, Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sri Aman Normah, Penolong Pegawai Pertanian Engkilili dan Lubok Antu Jabu Sajeng, Pegawai JASA Parlimen Lubok Antu Geoffry Baja Ricky Maba dan ketua-ketua masyarakat sekitar Engkilili.
sumber:theborneopost
No comments:
Post a Comment