Tuesday 9 April 2013

Beri tanah lima hektar kepada setiap rakyat S’wak

SIBU: Sebuah kumpulan bebas di kawasan Dalat menyarankan agar kerajaan memberi tanah seluas lima hektar kepada setiap rakyat Sarawak yang berusia 18 tahun ke atas.

Menurut jurucakap kumpulan terbabit, Salleh Mahli tanah yang diberikan itu boleh digunakan bagi melaksanakan Projek Pertanian Ladang Rakyat 1Sarawak.

“Untuk tujuan itu, kita perlu menubuhkan sebuah koperasi yang mungkin dikenali sebagai Koperasi 1Sarawak bagi menggabungkan semua rakyat Sarawak yang memohon tanah kerajaan di negeri ini.

“Ini bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan generasi pada masa depan,” katanya di sini semalam.

Beliau mencadangkan agar kerajaan memberikan tanah seluas lima hektar kepada setiap rakyat Sarawak yang berusia 18 tahun ke atas yang memiliki kad pengenalan.

Salleh berkata, jika generasi hari ini tidak bertindak dari sekarang, kemungkinan anak-anak cucu mereka nanti akan marah dengan generasi kini.

“Marilah kita bersama-sama mempertahan tanah Sarawak daripada terlepas kepada pihak lain,” katanya sambil mengalu-alukan sebarang perbincangan lanjut bagi melaksanakan projek itu bersama-sama mereka yang berminat.

Mereka yang berminat serta bersetuju dengan cadangan itu boleh menghubungi beliau melalui talian 019-8164709.

Dalam pada itu, Salleh juga mencadangkan agar mana-mana parti politik yang gagal membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti agar menjadi pemimpin pembangkang yang baik dan berkualiti.

“Parti yang menang akan membentuk kerajaan manakala yang kalah perlu menjadi pembangkang yang terhormat ketika di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

“Sebagai pembangkang, mereka harus mengkritik dengan membina dan memberikan cadangan yang dapat membantu menyelesaikan masalah rakyat kerana itu yang rakyat mahukan.

“Jangan jadi pembangkang seperti pada penggal yang lalu di mana perkara yang betul pun tidak disokong,” jelasnya sambil memberitahu sebagai wakil rakyat mereka harus menunjukkan teladan yang baik.

Beliau juga memberitahu, rakyat kini mahukan pemimpin yang memperjuang nasib rakyat dan mempertahan bangsa, agama dan negara.

Apa yang berlaku ketika penggal lalu, ujar Salleh, harus dijadikan pedoman dan pengajaran kepada semua pihak sama ada kepada kerajaan atau pihak pembangkang.

“Semua pemimpin dan rakyat Malaysia perlu muhasabahkan diri kalau mahu dihormati dan disegani kawan mahupun lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment