Orang ramai diingat abai khabar angin kononnya Tiong tawar wang kepada pengundinya
SIBU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King merayu orang ramai agar tidak terpengaruh dengan khabar angin yang tersebar luas ketika ini kononnya beliau akan menawarkan wang kepada para pengundi di kawasannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini.
Menurutnya, khabar angin terbabit mungkin disebarkan oleh pihak-pihak tertentu khususnya pembangkang dalam menghasut rakyat seterusnya membenci kerajaan BN.
“Inilah gaya politik pembangkang yang sentiasa berfikiran buruk serta cuba mencari isu untuk dimainkan sebagai senjata mereka pada kempen pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon bagi kerusi Parlimen Lanang di Dewan Mesyuarat Perpustakaan Awam Sibu di Jalan Keranji, di sini kelmarin (Sabtu).
Beliau akan ditentang oleh calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Alice Lau dalam mempertahan kerusi Parlimen Lanang.
Tiong yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) menjelaskan bahawa penyebaran khabar angin terbabit adalah taktik yang sering digunakan oleh pembangkang.
“Bila tibanya musim pilihan raya, penyebaran khabar angin seperti itu sering dimainkan seolah-olah tidak ada isu lain.
“Politik sebegitu sangat keji dan kotor serta merendah-rendahkan BN,” tegasnya yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Lanang selama empat penggal.
Beliau mendakwa amalan menggunakan politik wang adalah satu helah mengelirukan rakyat dan tidak patut dibangkitkan oleh pembangkang.
“Pilihan raya adalah sangat berharga dan menentukan hala tuju negara. Ia tidak boleh dipandang ringan.
“Oleh itu, masing-masing bebas berpolitik asalkan tidak membuat penyebaran khabar angin sebegini. Hormatlah kepada dasar demokrasi di negara kita ini,” katanya.
Khabar angin yang dilemparkan kepada Tiong kelmarin mendakwanya akan menawarkan wang sebanyak RM300 kepada para pengundinya sebagai wang pendahuluan manakala jika menang pada PRU13 ini, pengundi akan mendapat RM1,200 lagi.
“Saya berasa sangat marah dengan tuduhan terbabit di mana saya bukannya terlalu kaya dengan menawarkan RM1,500 kepada setiap pengundi.
“Bukannya sedikit jumlah pengundi di kawasan Lanang malah ia melibatkan beribu-ribu orang,” jelasnya.
Beliau berasa kecewa dengan tuduhan itu sambil menyifatkan pembangkang sering menuduh BN menggunakan wang untuk membeli undi. - theborneopost
No comments:
Post a Comment