Monday, 22 April 2013

Masa untuk mengubah Sibu



SA’ATI: Vincent Lau (empat kanan), Tiong (empat kiri), Soon Koh (tiga kanan) serta yang lain semasa Kempen Pilihan Raya BN di Sibu, malam kelmarin.

SIBU: Penduduk di kawasan Parlimen Sibu memberi masa lebih tiga tahun kepada wakil rakyat daripada parti pembangkang untuk berkhidmat kepada mereka.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sibu Vincent Lau berkata sepanjang tempoh tiga tahun itu penduduk tidak mendapat apa-apa pembangunan daripada wakil rakyat pembangkang tersebut.

“Kita telah memberi peluang kepada wakil rakyat pembangkang lebih tiga tahun tetapi sayangnya kita tidak mendapat apa-apa pembangunan.

“Dan, seharusnya wakil rakyat pembangkang ini harus ditukar pada pilihan raya kali ini,” katanya berucap pada Kempen Pilihan Raya BN pada PRU13 di Jalan Salim (bersebelahan pasar raya Sing Kwong) di sini, malam kelmarin.

Hadir sama Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh, calon BN kerusi Parlimen Lanang Datuk Tiong Thai King, Ketua Wanita SUPP Cawangan Sibu Kapitan Datuk Janet Lau, Timbalan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu Kaunselor Chieng Buong Toon serta Oliver Kuo.

Kempen pertama anjuran BN di venue tersebut bagi menghadapi PRU13 ini mendapat sambutan cukup menggalakkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 penduduk setempat memberikan sokongan padu kepada kedua-dua calon BN.

Menurut Vincent Lau, beliau telah diamanahkan untuk turun padang sebagai calon BN bagi merampas kembali kerusi Parlimen Sibu daripada pembangkang.

“Saya memohon sokongan padu dan penuh daripada semua,” katanya sambil mengingatkan rakyat agar memilih wakil rakyat dengan fikiran yang waras serta matang.

Vincent Lau turut memberi jaminan jika diberi mandat oleh rakyat pada PRU13 ini, beliau akan memastikan segala pembangunan yang dirancang kerajaan selama ini dapat memberi impak kepada rakyat khususnya di Parlimen Sibu.

“Oleh sebab itu, saya meletak jawatan sebagai temenggung kerana ingin berusaha keras memastikan Sibu milik BN.

“Saya tahu Sibu masih memerlukan BN lebih-lebih lagi pada Pilihan Raya Negeri 2011, tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini iaitu DUN Dudong, DUN Bukit Assek dan DUN Pelawan menjadi milik pembangkang,” tambahnya.

Kerusi Parlimen Sibu jatuh ke tangan pihak pembangkang ketika Pilihan Raya Kecil 2010.

Pilihan raya berkenaan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen Sibu mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang turut memegang jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Pada pilihan raya kecil lalu, calon BN-SUPP Kaunselor Robert Lau Hui Yew tewas tipis kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Richard Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Ho Leng meraih 18,845 undi manakala Robert Lau mendapat 18,447 undi. Calon bebas Narawi Haron berjaya mendapat 232 undi sekali gus hilang wang deposit.

Pada PRU13 ini, Vincent Lau akan menghadapi tentangan DAP, calon baharunya Oscar Ling yang merupakan pembantu peribadi kepada penyandang kerusi Parlimen Sibu Wong Ho Leng dan calon Bebas, Narawi Haron.

Ho Leng tidak bertanding pada PRU13 ini disebabkan masalah kesihatan. - theborneopost

No comments:

Post a Comment