Desak Tan Kai, Yong jelaskan ketelusan slogan ‘Clean & Just’ yang diperjuangkan mereka
KUCHING: Calon yang juga penyandang kerusi Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen memperlekehkan slogan ‘Clean & Just’ yang digunakan pada papan iklan pilihan raya dua calon Barisan Nasional (BN).
Dua calon yang dimaksudkan Chong itu ialah calon BN Parlimen Bandar Kuching Tan Kai dan calon BN Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng.
Chong yang mempersoalkan slogan itu mendesak Tan Kai dan Yong tampil membuat penjelasan berhubung ketelusan slogan yang diperjuangkan oleh mereka itu melalui akhbar-akhbar.
Beliau yang geli hati dengan slogan itu turut mendesak kedua-dua calon BN daripada SUPP itu menjelaskan pendirian mereka mengenai isu penjualan tanah yang dibongkar oleh Global Witness jika benar mereka adalah ‘Clean & Just’seperti dalam slogan.
Malah menurut Chong, jika Tan Kai dan Yong benar-benar ‘Clean & Just’, mereka juga perlu membuat penjelasan berhubung dua lagi urusan penjualan tanah di dua kawasan berasingan antara kerajaan dan syarikat yang berkaitan.
“Saya memberikan tempoh selang sehari kepada kedua-dua calon BN ini untuk memberi jawapan melalui akhbar-akhbar berhubung ketelusan mereka seperti dalam slogan ‘Clean & Just’.
“Saya ada sembilan soalan yang perlu diajukan kepada kedua-dua mereka dan soalan-soalan ini akan saya ajukan selang sehari selepas menerima penjelasan daripada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat parti di sini semalam selepas pelancaran Trak Mesin Ubah yang kedua bagi tujuan kempen terutama di kawasan luar bandar.
Menurut penyelarasnya Wong King Wei, mesin automatik ini akan digunakan bagi tujuan kempen di kawasan luar bandar dan akan bertolak ke Sri Aman hari ini bagi tujuan itu.
Jelas Wong, kawasan luar bandar adalah penting untuk DAP dan Pakatan Rakyat dalam usaha menawan Putrajaya dan membentuk kerajaan baharu.
“Kami akan bertolak ke Sri Aman esok (hari ini) untuk aktiviti berkempen secara bergerak dan berharap akan menerima sokongan daripada penyokong di kawasan ini,” kata Wong yang juga ADUN Padungan. - theborneopost
No comments:
Post a Comment