KUCHING: Peguam syarie yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ahmad Nazib Johari, 37, mahu mengubah kepincangan dan kekurangan sistem pemerintahan kerajaan sedia ada.
Katanya Pakatan Rakyat mahu melihat sistem demokrasi sentiasa subur di kalangan masyarakat dan pengundi dan tidak berat sebelah atau tidak adil.
“Yang penting kita jalankan proses demokrasi, perjuangan kita banyak kalau hendak dibukukan pun tidak akan habis tetapi kita mahu membawa perubahan selepas 50 tahun diperintah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Pertama sekali perjalanan proses penamaan dijalankan dengan baik dan penyokong kami tahu akan ada perlawanan dua penjuru,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon ditutup pada jam 10.10 pagi di Dewan Al-Muneerah SMK Petra Jaya kelmarin (Sabtu).
Menurutnya, selepas ini, pihaknya akan terus berkempen sehingga pada hari pengundian serta menyeru agar pengundi bekerjasama mengundi bagi membawa perubahan ke Parlimen Petra Jaya.
“Kami juga berbincang tadi tentang undi pos, undi awal dan undi biasa, proses permit dengan DBKU untuk berkempen untuk makluman semua tadi dan pihak kami 100 peratus dalam keadaan baik,” jelasnya.
Beliau yang juga memegang jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri pernah bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Satok menentang Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada 2011.
Bagaimanapun, Abang Johari menang dengan undian sebanyak 4,691 manakala Nazib mendapat hanya 1,891 undi.-theborneopost
No comments:
Post a Comment